Keruntuhan institusi keluarga tidak boleh dipandang ringan

- Advertisement -

BENTONG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kehidupan berkeluarga pada masa kini menjadi semakin mencabar seiring dengan peredaran dan perubahan masa.

Menurutnya, kos sara hidup yang tinggi, trend gaya hidup moden, kekurangan ilmu dan penghayatan agama, ditambah pula dengan perkembangan teknologi media dan komunikasi sedikit sebanyak turut menggugat kesejahteraan dan keharmonian rumahtangga.

“Masalah kerapuhan dan keruntuhan institusi keluarga juga kian merunsingkan dan tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya Ketika merasmikan Kursus Pasca Perkahwinan Islam: Fasa Bulan Madu di Janda Baik, hari ini. Kursus itu adalah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, pertambahan kadar perceraian kian bertambah seiring dengan kepesatan pembangunan negara.

- Advertisement -

Tambahnya, punca berlaku perceraian disebabkan pelbagai faktor seperti masalah kewangan, komunikasi, tiada persefahaman, pengabaian nafkah, campur tangan keluarga, mementingkan diri sendiri, kehadiran orang ketiga dan sebagainya.

Beliau berkata, penularan wabak Covid-19 juga secara langsung atau tidak, turut memberi kesan kepada pasangan suami isteri hingga menjejaskan keharmonian dan kerukunan rumahtangga.

Katanya lagi, ada sebahagian mereka kehilangan pekerjaan, kehilangan ahli keluarga, mengalami tekanan emosi dan sebagainya.

“Setiap cabaran ini perlu ditempuh dan ditangani dengan baik.

“Inilah peranan yang saya mahu JAKIM dan JAWI ambil untuk mensejahterakan masyarakat dengan ilmu kekeluargaan. Ini adalah peranan agensi Islam,” ujarnya.

Justeru, kata beliau pasangan suami isteri perlu sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran dalam kekeluargaan dan keibubapaan.

“Ilmu pengetahuan menjadikan hidup kita lebih berkualiti.

“Setiap kita digalakkan untuk menghadiri kursus, seminar atau program-program keilmuan, keagamaan, kekeluargaan dan saya mahu Kursus Pasca Perkahwinan ini menjadi sebahagian yang menggerakan nilai ilmu kepada para suami isteri,” katanya.

Menurutnya, apabila kursus itu berlangsung mungkin tiga hari dua malam, atau dua hari satu malam, ia menjadi medan kepada setaip pasangan suami isteri untuk saling bermuhasabah diri dan mengingatkan kembali kepada diri masing-masing apakah matlamat sebenar bahtera perkahwinan.

“Saya kira kita semua perlu masing-masing memperingkatkan keluarga kita, matlamat perkahwinan kita adalah ‘mahu masuk syurga sekeluarga’.

“Kita mahu isteri, suami dan anak-anak, cucu-cucu kita sekeluarga masuk syurga,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar pelaksanaan program itu akan mencapai objektifnya dan memberi pemahaman yang jelas berkaitan ilmu dan kemahiran berkeluarga dalam menyemarakkan rasa cinta agar kebahagiaan hakiki di dunia mahupun di akhirat dapat dikecapi.

“Usaha murni ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa dengan pendekatan dan strategi yang lebih efektif kepada sasarannya.

“Pelbagai pihak juga perlu mengambil bahagian secara menyeluruh dan berterusan demi kesejahteraan keluarga, bangsa dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2022

- Advertisement -