Penjajaran order baharu dunia dan pengakhiran hegemoni AS

Asap hitam kelihatan dari lapangan terbang tentera Ukraine di Chuguyev dekat Kharkiv yang terletak berhampiran sempadan Rusia. - Gambar AFP
- Advertisement -

KONFLIK Rusia – Ukraine yang telah berlanjutan sehingga ke hari ini telah mengubah dinamik order baharu dunia yang selama ini diterajui oleh Amerika Syarikat dan Barat baik dari segi geopolitik dan ekonomi serta menyaksikan pertembungan baharu yang bakal menghidupkan kembali era perang dingin terdahulu di antara Amerika Syarikat dan Rusia.

- Advertisement -

Ketika ini Barat sedang menekan Rusia dari pelbagai sudut dengan mengenakan sekatan yang paling ekstrim serta memulaukannya dari dunia antarabangsa.

Namun setelah beberapa bulan berlangsung, apa yang diharapkan oleh Barat tidak menjadi kenyataan malah “ menikam diri sendiri “. Sebagai contoh sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Barat mula menjerumus Amerika Syarikat ke arah kemelesetan ekonomi yang paling buruk dekad ini.

Sekatan penjualan minyak mentah dan gas asli Rusia telah menyebabkan harga minyak mentah melambung ke tahap yang paling tinggi dekad ini. Ia juga menyebabkan harga komoditi dan barangan keperluan asas di seluruh dunia meningkat dengan begitu mendadak di samping gangguan pelbagai rantaian bekalan hingga menjejaskan ekosistem ekonomi dunia.

Kesemua senario ini mula menyebabkan sokongan ke atas Barat terutamanya di Eropah mula goyah. Amerika Syarikat dan Britain telah mengalami kadar inflasi yang tertinggi dalam tempoh 40 tahun. Jerman dan beberapa lagi negara Eropah telah mula mengaktifkan pelan kecemasan berikutan pengurangan bekalan gas asli secara drastik oleh Rusia.

Tekanan tersebut bukan hanya dirasai oleh Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan negara-negara utama Kesatuan Eropah, malah turut dirasai oleh negara-negara sekutu Barat termasuk juga oleh Dunia Islam.

Ekonomi terutamanya matawang Rusia iaitu Rouble yang dijangka mengalami kejatuhan teruk berikutan sekatan ekonomi ke atas Rusia oleh Barat kini telah menjadi matawang yang menunjukkan prestasi terbaik ketika ini berbanding dolar Amerika Syarikat dan lain-lain matawang di seluruh dunia.

Dalam masa sama, BRICS iaitu kesatuan negara-negara yang sedang pesat membangun yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan baharu sahaja memulakan sidang kemuncak ke 14 yang sedang berlangsung di Beijing, China. Sidang kemuncak ini mendapat perhatian dari seluruh dunia terutamanya Barat untuk melihat reaksi dan tindakbalas terhadap keadaan semasa yang berlaku ketika ini.

Seperti yang dijangka, sidang kemuncak BRICS telah menterjemahkan hala tuju kumpulan negara-negara pesat membangun ini terutamanya Rusia dan China. Kedua-dua negara ini dilihat sedang berusaha untuk “ menongkah arus “ dan melenyapkan hegemoni Barat yang selama ini “ mentadbir “ dunia dengan tidak adil dan penuh hipokrasi.

Terdapat kalangan penganalisa geopoplitik dunia meramalkan hegemoni Barat bakal berakhir bermula dengan kejatuhan ekonomi dan dollar Amerika Syarikat yang mana permulaan kesannya telah bermula ketika ini yang mula menyebabkan kebangkitan rakyat di beberapa negara Barat berikutan krisis ekonomi yang melanda.

Namun begitu, negara Dunia Islam ketika ini dilihat amat berhati-hati, tidak memihak dan berdiam diri dalam keadaan semasa global yang tidak menentu. Adakah sikap ini menunjukkan Dunia Islam lemah, tidak berkemampuan dari segi ekonomi dan politik atau sebenarnya menunjukkan jurang yang amat besar dalam kesatuan dan perpaduan di kalangan negara Dunia Islam.

Dunia Islam mampu menjadi kuasa besar dunia

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Salaam Gateway pada 9 November 2017, 57 negara anggota OIC telah menyumbang sebanyak $6.425 triilion kepada KDNK dunia, iaitu sebanyak 8.25 peratus daripada keseluruhan KDNK dunia.

Populasi keseluruhan 57 negara anggota OIC dan wilayahnya adalah dianggarkan berjumlah 1.769 billion orang, iaitu sebanyak 23.77 peratus daripada keseluruhan populasi dunia.

10 negara OIC yang mempunyai KDNK terbesar adalah Indonesia, Turkiye, Arab Saudi, Nigeria, Iran, UAE, Mesir, Malaysia, Pakistan dan Bangladesh.

Dalam laporan terbaharu Salaam Gateway berkaitan keadaan semasa ekonomi Dunia Islam 2021, pelaburan dalam ekonomi Islam untuk tahun 2020 / 2021 telah mencecah $25.7 billion dengan 6 negara iaitu UAE, Indonesia, Malaysia, Arab Saudi, Turkiye dan Mesir adalah penerima transaksi pelaburan terbanyak untuk tahun 2020 / 2021.

Kedudukan penunjuk aras ekonomi Islam global untuk tahun 2020 / 2021 diterajui oleh Malaysia dan diikuti oleh Arab Saudi, UAE, Indonesia dan Turkiye dan dianggarkan negara Dunia Islam akan mengalami peningkatan ekonomi dalam anggaran “ compound annual growth rate “ ( CAGR ) untuk 2021 – 2025 sebanyak 7.5 peratus bernilai $2.8 triilion.

Aset kewangan dan instrumen Islam juga telah meningkat sebanyak 7.8 peratus untuk tahun 2020/2021 yang dianggarkan bernilai $3.6 trillion.

Eksport dan import dari 5 negara utama ekonomi Dunia Islam iaitu Arab Saudi, UAE, Turkiye, Indonesia dan Malaysia dengan 5 negara utama rakan dagang negara Dunia Islam yang didahului oleh China, India, Amerika Syarikat, Brazil dan Rusia dijangka akan mengalami pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus setahun sehingga 2025 yang mencecah nilai $336 billion.

Melihat kepada data, prospek dan jangkaan perkembangan ekonomi Dunia Islam untuk tempoh 5 tahun akan datang, negara Dunia Islam mampu berdaya saing menghadapi kuasa besar ekonomi dunia serta mewujudkan blok ekonomi besar dari kalangan negara Dunia Islam yang mampu menjadi kuasa utama ekonomi dunia.

Majoriti negara Dunia Islam berada di tempat yang paling strategik di peta dunia samada melalui jalan laut mahupun darat. Laluan sutera yang menjadi laluan perdagangan utama antara dunia timur dan barat yang dihidupkan semula oleh China melalui inisiatif “ Belt and Road “ terletak di dalam Dunia Islam di Asia Tengah.

Inisiatif “ Belt and Road “ ini pula menjadi penghubung laluan perdagangan antara Asia dan Eropah mahupun benua lain samada melalui jalan darat serta laut. Dari sudut hubungan timur dan barat pula, Turkiye menjadi pusat perhubungan utama yang menghubungkan di antara benua Eropah dan Asia.

Untuk jalan laut pula, Dunia Islam menjadi pintu utama di timur dan barat Lautan Hindi. Di timur terletaknya Selat Melaka dan di barat terletaknya Bab Al-Mandab. Manakala di timur Laut Mediterranian terletaknya Terusan Suez dan di barat terletaknya Jabal Toriq atau Gibraltar yang menghubungkannya dengan Lautan Atlantik.

Maka dengan ini Dunia Islam menjadi laluan utama kapal perdagangan seluruh dunia samada dari Timur mahupun Barat yang melalui Laut Merah dan Selat Melaka.

Di samping kedudukannya yang strategik, Dunia Islam dikurniakan Allah SWT dengan kekayaan hasil bumi yang begitu banyak seperti petroleum, bijih-bijih, kepelbagaian hasil bumi sehinggalah tanah-tanah yang subur untuk perladangan mahupun pertanian.

Sebahagian besar sumber petroleum dan gas asli dunia terletak di dalam Dunia Islam. Maka tidak hairanlah keanggotaan OPEC, iaitu kesatuan negara pengeluar minyak mentah utama dunia di dominasi oleh negara Dunia Islam. Sumber petroleum yang berada di dalam Dunia Islam bermula di negara-negara Teluk, Iran, Iraq, negara–negara Afrika seperti Libya dan Algeria, negara-negara Asia Tengah, Indonesia dan Malaysia.

Kembalikan kegemilangan dunia Islam

Berdasarkan kepada senario di atas, Dunia Islam sebenarnya mampu bangkit menjadi kuasa utama dunia baik dari sudut ekonomi mahupun geopolitik serta tidak menjadi “ khadam “ mahupun pengikut dengan bergantung kepada kuasa besar dunia untuk kelangsungan survivalnya.

Dengan kekuatan ekonomi yang sedia ada, kepelbagaian sumber asli yang begitu banyak dan sumber tenaga manusia yang ramai, kemajuan teknologi serta pelbagai lagi pencapaian yang dikecapi saat ini, Dunia Islam sebenarnya mampu pergi lebih jauh dan mampu mencapai kegemilangan.

Namun saat ini Dunia Islam sudah tidak seperti zaman kegemilangannya. Dunia Islam sudah hampir malap atau pudar sinarnya samada akibat tindakan umat Islam itu sendiri atau terlalu terpesona dengan kelazatan dunia serta terpedaya oleh tipu muslihat musuhnya.

Dunia Islam masakini harus mengambil iktibar di atas peristiwa sejarah masa lalu. Jika dikaji serta diteliti pada zaman kegemilangannya, perpaduan dan persefahaman memainkan peranan yang begitu penting dalam mengekalkan keutuhan dan kekuatan Dunia Islam.

Tidak kira bangsa, kaum mahupun kabilah, samada miskin ataupun kaya, tua atau muda, keakraban dan perpaduan menjadi intipati utama di zaman kegemilangan Dunia Islam dengan menjadikan Islam itu sendiri sebagai tonggak kehidupan.

Apa yang kita lihat hari ini, Dunia Islam berpecah belah serta porak peranda. Islam sudah tidak lagi di jadikan paksi kehidupan di kalangan umat Islam itu sendiri. Akibatnya umat Islam hilang pedoman hidup serta berlaku keruntuhan moral dan akhlak yang cukup ketara.

Kekayaan anugerah Allah SWT untuk Dunia Islam tidak di belanjakan sebaiknya malah merosakkan lagi nilai kehidupan akibat sikap tamak, sombong dan bongkak walau terhadap sesama Islam sendiri.

Maka apa yang kita lihat hari ini, mereka saling berbunuhan sesama sendiri akibat sikap tamak dan gila kuasa. OIC yang sepatutnya menjadi penghubung persaudaraan dan perpaduan disalah guna untuk kepentingan pihak tertentu yang berkepentingan tanpa memperdulikan nasib umat Islam yang lain.

Maka lihatlah apa yang terjadi hari ini di Palestin, Yaman, Syria, Iraq, Afghanistan dan di banyak tempat lagi di seluruh dunia. Islam di label sebagai pengganas, di bunuh, di jarah harta benda dan tanah air serta kekayaannya. Malah ada yang dihalau keluar dari tanah air sendiri dan tidak kurang juga yang khianat kepada Dunia Islam akibat sifat tamak haloba dan gila kuasa.

Sampai bilakah kita harus melihat perkara sebegini berlaku ataupun sudah sampai masanya kita mengubah nasib dan masa depan Dunia Islam agar kembali gemilang dan lebih baik daripada sekarang.

Bayangkan jika semua negara Dunia Islam bersatu, dengan kekayaan yang ada, sumber manusia yang banyak, kemajuan dan teknologi yang dikecapi dan saling bantu membantu dari segenap sudut samada dari sudut ekonomi, ketenteraan dan lain-lain lagi, tidak mustahil Dunia Islam mampu menjadi kuasa utama dunia dalam masa yang singkat.

Sudah sampai masanya Dunia Islam kembali gemilang. Dengan kekayaaan hasil bumi dan kekuatan yang ada samada dari sudut politik, ekonomi mahupun ketenteraan, Dunia Islam mampu bangkit dari kepudaran dan kemalapan yang di alaminya sekarang ini. Persengketaan hanya merugikan Dunia Islam malah mampu meranapkannya. Ambillah pengajaran daripada sejarah lampau dan jadikan perpaduan sebagai asas dan tonggak kebangkitan Dunia Islam.

Dunia Islam mampu bangkit kembali dan gemilang. Dunia Islam mampu menjadi penyelamat dan payung kehidupan untuk seluruh umat manusia. Islam dan umatnya bukan pengganas. Islam agama kedamaian dan umatnya cintakan keamanan.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.
AJK PAS Pusat dan ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 25/6/2022

- Advertisement -