Jazlan tidak matang, biadab dan menangguk air keruh

- Advertisement -

KENYATAAN berbaur kritikan pedas oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri pada beberapa hari lepas merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab, pentingkan diri sendiri dan tidak mendahulukan kepentingan rakyat.

Perbuatan menggelarkan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara kerana masih belum memutuskan pengganti Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merupakan suatu gerakan untuk melaga-lagakan keharmonian yang wujud di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat di pihak kerajaan.

Sebagai seorang bekas anggota kabinet, beliau seharusnya bersabar dan menghormati keputusan YAB Perdana Menteri dalam memutuskan pengganti jawatan tersebut, bahkan tindakan melulu ini dilihat seperti masuk bakul angkat sendiri.

Buat masa sekarang, keperluan rakyat perlu didahulukan berbanding menimbulkan polemik bagi kepentingan politik sendiri. YAB Perdana Menteri telah bekerja sehabis daya bagi membantu rakyat dalam menangani isu setempat yang muncul disebabkan oleh bencana, dan pandemik secara global.

Terbaru, bantuan rakyat sebanyak RM200 ke RM 500 turut diberikan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, bagi kelangsungan hidup rakyat di bawah program Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan Bayaran Tunai Tambahan.

Justeru, kenyataan yang tidak matang dan biadab ini menggambarkan beliau hanya menangguk di air keruh dan hanya menyokong pihak pentadbiran hanya ketika dalam keadaan selesa.

Selaku ahli parti di pihak kerajaan, beliau seharusnya turut serta membantu pihak kerajaan dalam usaha memulihkan ekonomi dengan menyalurkan pandangan bernas, dan bukan asyik menuding jari kepada pihak lain.

Maka, kepentingan asas rakyat perlu didahulukan berbanding kepentingan diri sendiri demi melestarikan kesejahteraan di dalam Malaysia.

Sekian.

YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik
24 Jun 2022 – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -