Mansuh harga siling: Pastikan kebajikan rakyat diutamakan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak turut merasai keresahan hati rakyat setelah pengumuman dibuat melibatkan pemansuhan harga siling bagi bahan mentah seperti telur, ayam dan minyak masak botol 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg yang termasuk dalam barangan keperluan harian pengguna.

Sudah tentu ianya boleh menyebabkan berlaku kenaikan harga barang di pelbagai peringkat dan menambahkan bebanan golongan B40 dan M40. Oleh yang demikian, pihak berautoriti mestilah membuat pemantauan dan penguatkuasaan berterusan secara telus bagi memastikan kebajikan rakyat diberi keutamaan.

Dalam masa sama, Pemuda PAS Perak berkeyakinan langkah diambil merupakan salah satu usaha pihak kerajaan dalam menangani isu inflasi dunia di samping berusaha menawarkan solusi lebih baik kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup yang penuh mencabar pasca COVID-19.

Pemuda PAS Perak menggesa agar pihak kerajaan, kementerian dan agensi berkaitan untuk mengambil langkah wajar dengan meneruskan pengukuhan terhadap usaha berikut;

(i) Mengamalkan urus tadbir Islam yang dapat mengembalikan keadilan ekonomi dan sosial berteraskan ajaran Islam yang mengutamakan prinsip integriti dan ‘itqan’;

(ii) Menjalankan penguatkuasaan secara menyeluruh dengan lebih efisien bagi membanteras penyalahgunaan kuasa serta menghapuskan monopoli perniagaan pihak tertentu;

(iii) Mengagihkan kekayaan hasil negara melalui pembangunan modal insan serta pembangunan ekonomi komprehensif yang mana manfaatnya dapat dirasai rakyat kebanyakan di seluruh pelusuk negara.

Marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatu padu dan saling bertanggungjawab antara satu sama lain serta jangan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas kesempitan yang dihadapi rakyat ketika ini sebaliknya nikmatilah kesejahteraan hidup bersama.

“Memacu Perpaduan”
“Legasi Perjuangan”


Sekian, terima kasih

HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -