Apabila ‘pejuang tanah haram’ heret institusi masjid

Tanah Kampung Atas Paloh diambil kembali pemilik sebenar

- Advertisement -

AGAK lucu apabila melihat beberapa puluh orang yang mendakwa ‘dizalimi’ oleh Kerajaan Negeri serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengadakan rapat umum di luar masjid usai solat Jumaat tadi. Dalam puluhan orang itu, 80 peratus berbaju kuning menandakan mereka orang parti PUTRA dari Pasir Mas. Bahkan, Ibrahim Ali sendiri turun mengepalai beberapa kerat penyokongnya itu.

Kelibat lain adalah beberapa anak muda dari PAN dan juga PKR. Mereka memegang sepanduk yang antaranya tertulis, “PKINK zalim dan munafik”, “Bayar pampasan biyar munasabah gak, bukan suruh bayar macam kerete Mecedis”, “Syurga haram buat pemimpin….” dan beberapa yang lain. Lebih melucukan adalah di mana penduduk kampung yang kata dizalimi itu? Kerana semua sepanduk, dipegang dan diangkat oleh ahli parti Berahim Ali, puak PAN dan PKR. Mana orang kampung?

Lebih menghairankan, apabila satu sosok tubuh, yang kononnya mewakili 53 penduduk itu bangun berucap, berdegar-degar sedangkan mereka yang dikatakan terzalimi lainnya tidak kelihatan. Sejak dulu hingga sekarang, dia sahaja yang bising dan bingit bunyi suaranya. Dalam Facebook dia yang berbicara, dalam Tiktok dalam Instagram dalam Youtube semuanya ‘dia’. Seramai-ramai orang, dia sahaja, sentiasa ada. Hari ini pun, dia juga. Mana yang lain?

Dia jugalah yang pernah mendapat pujian daripada Timbalan Menteri, bahawa keuntungan perniagaannya mencecah RM2 juta setahun. Tetapi dia jugalah yang paling bising ‘memperjuangkan’ kononnya rumah orang tuanya akan dirobohkan dan di mana keluarganya mahu pergi nanti.

Kini, semakin ramai yang celik matanya dengan isu tanah Kampung Atas Paloh. Selama puluhan tahun mereka duduk percuma di atas tanah kerajaan tanpa apa apa bayaran dan kos. Dan apabila kerajaan sejak hampir 10 tahun lalu mengumumkan pelan untuk membangunkan tanah ini melalui PKINK, bahkan majoriti penduduk telah bersetuju untuk berpindah, muncul pula ‘budak-budak baru nak up’ (BBNU) yang bermain sentimental perasaan.

Katanya di sini tempat dia bermain sejak kecil, tempat jatuh lagi kan dikenang. Itu dan ini. Dia seakan akan tidak tahu tanah yang dia ‘bermain sejak kecil’ itu adalah tanah orang? Tanah yang apabila tuan punya asal mahu menggunakan ia, mahu bangunkan ia, maka kita perlu pulangkan semula.

Petang ini langkah mereka semakin sumbang. Isu peribadi, kedegilan peribadi, tohornya perasaan dan minda beberapa yang terlibat itu, telah cuba mengheret institusi masjid bersama. Ketamakan individu cuba dipalit kepada masjid. Mereka menghulurkan sepanduk-sepanduk untuk diangkat oleh puak parti politik terdesak dengan kata-kata, “Kerajaan Negeri Kelantan menzalimi Qariah Masjid Muhammadi”. Lucu, mahu ketawa dan menangis juga melihatnya.

Mujur juga mereka tidak tulis “Kelantan menzalimi mereka yang pernah bersolat di Masjidil Haram”. Bahana ini menunjukkan ‘pejuang tanah haram’ itu makin tersepit, terkepit dan terdesak. Heret nama masjid dalam pergelutan yang bertulang-belakangkan kepentingan peribadi adalah sesuatu yang amat jijik.

Hentikanlah. Tamatkan kerja sia-sia yang bertentangan dengan keputusan mahkamah ini. Jangan kita menegakkan benang yang basah. Usah pula sibuk melaungkan Zionis, Yahudi dan apa-apa konotasi negatif. Bezanya amat jauh. Yahudi rampas tanah rakyat milik umat Islam Palestin. Kelantan pula mahu bangunkan tanah milik semua rakyat negeri ini.

Kita mahu majukan tanah milik kerajaan. Kita mahu bangunkan tanah yang gerannya di atas nama kerajaan dan agensinya. Untuk siapa pembangunan ini semua? Sahih paling utama terpaling betul jawapannya adalah untuk rakyat Kelantan. Kenapa kita perlu berundur demi rakyat? Dan mengalah kepada satu dua watak tamak dalam isu ini?

ANAS KARIMI AHMAD THANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -