CUEPACS terima aduan penjawat awam diugut ketua jabatan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Ketua-ketua jabatan perkhidmatan awam dinasihatkan sentiasa menjaga integriti semasa menjalankan tugas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Dato’ Adnan Mat berkata, pihaknya menerima aduan terdapat penjawat awam diugut ditukar atau diberi petunjuk prestasi utama (KPI) rendah selepas memberi teguran ketua jabatan mereka.

- Advertisement -

“Justeru kami memohon ketua-ketua jabatan supaya dapat membetulkan kembali sistem perkhidmatan memandangkan sektor ini merupakan tunjang kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perlis bersama Presiden Cuepacs di Hotel Regency, di sini semalam.

Adnan juga berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut jika masalah itu masih berterusan.

“Jika berlaku lagi keadaan seperti ini, Cuepacs tidak teragak-agak untuk ambil tindakan dan membuat laporan lebih terperinci,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya sedang menjalankan kajian mengenai cadangan empat hari bekerja dalam seminggu memandangkan terdapat negara yang melaksanakan dasar tersebut.

Menurut beliau pihak mengambil maklum mengenai perkara ini dan akan membuat kajian secara serius sebelum memberi sebarang cadangan berhubung pelaksanaan empat hari bekerja dalam seminggu.

“Kita juga sedang meneliti sektor-sektor yang bersesuaian untuk melaksanakan dasar demikian,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -