BKM: Isi rumah bakal terima sehingga RM2,500

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 8.6 juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun ini, kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, bantuan itu merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

Katanya, bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.

- Advertisement -

Beliau berkata, mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

“Bayaran bantuan tunai tambahan ini dibayar di bawah Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta,” ujarnya dalam catatan di laman Facebook beliau, petang ini.

Sebelum ini, kata beliau kerajaan memperuntukkan bayaran BKM untuk golongan bujang muda hanya di bawah Fasa 1 dan Fasa 3 sahaja.

Namun, ujar beliau pada Fasa 2 BKM kali ini, kerajaan memberikan  insentif istimewa pada golongan bujang dengan memberi bantuan tunai tambahan.

Beliau menambah, setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun ini melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

Menruutnya lagi, pembayaran itu juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi dan akan disalurkan seperti dijadualkan.

“Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -