Khemah besar: MN, PN gagasan politik terbaik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gagasan politik khemah besar dikhuatiri akan mengulangi semula sejarah 22 bulan pemerintahan yang menggugat kesejahteraan Islam dan Melayu di negara ini.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, situasi pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kuasa politik Melayu Islam lemah tidak wajar berulang kembali.

Katanya, jalinan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) antara PAS, Umno dan Bersatu adalah adalah contoh kejayaan yang baik.

“Kejayaan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional melalui muafakat Perikatan Nasional (PN) BERSATU-PAS-UMNO merupakan wadah pendekatan muafakat politik yang terbaik dan berjaya bagi menyatukan ummah di negara ini.

“Sewajarnya pendekatan sebegini wajar dikekalkan dan diteruskan dengan lebih untuk Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” katanya semasa dihubungi Harakah, pada Isnin.

Justeru Mohd Zai, mengajak semua pemimpin parti Melayu dan Islam agar terus berunding ke arah memperkukuhkan agenda perpaduan ummah dan memperkasakan perpaduan Nasional.

Katanya, saranan itu selaras dengan asas-asas Perlembagaan Persekutuan dalam membangunkan sebuah negara yang kukuh, stabil dan sejahtera.

Selain itu katanya, rakyat juga melihat kestabilan politik, pentadbiran negara yang kukuh dan stabil adalah asas penting bagi memacu pembangunan dan kesejahteraan ekonomi rakyat selepas pandemik Covid-19.

“Sewarjarnya, tunjang dan akar politik di negara ini mestilah didasari kepada kesatuan memperkuatkan perpaduan ummah dan memperkasakan perpaduan nasional.

“Tidak wajar sama sekali rakyat dipecahkan dengan fraksi- fraksi politik yang berbedak,” jelasnya.

Oleh itu, mewakili UMMAH, Mohd Zai menyeru semua pihak agar kembali kepada seruan memperkukuhkan perpaduan ummah demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Katanya, sukar untuk pihak atau sebarang parti berkemampuan untuk menang secara solo semasa PRU15 nanti, namun jika permuafakatan menjadi pilihan, sudah pasti kemenangan milik bersama.

Terdahulu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah dalam satu kenyataan menolak idea ‘khemah besar’ yang dibawa parti pembangkang bagi menghadapi PRU15. – HARAKAHDAILY 21/6/2022

- Advertisement -