Susunan ZULHAIDI MANSOR
RAMALLAH: Palestin menuntut Israel menyerahkan senjata digunakan tentera zionis yang telah menyebabkan wartawan terkenal Al Jazeera, Shireen Abu Akleh maut pada 11 Mei lalu.
Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh berkata, gesaan tersebut dibuat susulan hasil siasatan pihak berkuasa Palestin yang juga merujuk kepada pendedahan oleh Al Jazeera dan beberapa organisasi media utama yang lain mengenai kematian tragis Abu Akleh.
Beliau berkata demikian pada majlis yang diadakan di bandar Ramallah di Tebing Barat pada Ahad bersempena 40 hari Abu Akleh dibunuh zionis Israel, lapor TRT World
Laporan itu menjelaskan pendedahan oleh pihak berkuasa Palestin bahawa peluru yang telah menyebabkan Abu Akleh maut telah dilepaskan oleh seorang askar Israel, kini berada dalam simpanan pihaknya.
Pihak berkuasa Palestin juga menolak permintaan Israel untuk menjalankan siasatan bersama ke atas pembunuhan wartawan veteran itu, sekali gus menekankan bahawa kesemua petunjuk, bukti dan saksi mengesahkan pembunuhan itu dilakukan oleh unit khas Israel.
“Siasatan Peguam Negara Palestin membuat kesimpulan bahawa Shireen Abu Akleh maut akibat peluru 5.56mm yang dilepaskan dari senapang senjata separa automatik, Ruger Mini-14.
“Tentera Israel berkata penyiasatan terhadap pembunuhannya tertumpu kepada seorang askar yang melepaskan tembakan berhampiran kawasan di mana Abu Akleh terbunuh,” jelas laporan itu lagi.
Terdahulu, siasatan CNN menyimpulkan bahawa bukti video dan keterangan saksi ‘mencadangkan bahawa Abu Akleh ditembak mati dalam serangan yang disasarkan oleh tentera Israel’ semasa melakukan tugasnya dan memakai topi keledar dan jaket media yang ditanda dengan jelas.
Menurut new.little.sis.org pula, syarikat yang berpangkalan di Connecticut, Sturm, Ruger & Company, Inc. menghasilkan Ruger Mini-14.
Senjata jenis berkenaan pada asalnya diasaskan pada tahun 1949 untuk mengeluarkan senjata api bagi pasaran sukan komersial. Sekarang ini, ia adalah salah sebuah syarikat senjata api dagangan awam terbesar di AS.
Sementara itu, biarpun enggan menjalankan siasatan bersama dengan zionis Israel, pihak berkuasa Palestin bagaimanapun tidak membantah siasatan antarabangsa dilakukan berhubung pembunuhan Abu Akleh.
Menurut laporan Middle East 24, Abu Akleh terbunuh pada 11 Mei lalu akibat tembakan peluru menembusi topi keledar pelindung yang dipakainya ketika dia pada masa dia memakai jaket pelindung yang dikhaskan untuk wartawan semasa membuat liputan mengenai operasi Israel di pinggir kem pelarian Jenin.
Pendakwa Raya Palestin menjelaskan dalam laporan itu, berikutan siasatan dalaman, tentera Israel bertanggungjawab atas pembunuhan wartawan berusia 51 tahun itu, dan mengatakan bahawa Abu Akleh ditembak oleh seorang askar Israel yang menggunakan senapang penembak tepat.
Sementara, pengarah Al-Jazeera di wilayah Palestin, Walid Al-Omari, berkata bahawa bahawa persoalan sekarang ini bukan lagi mengenai identiti pembunuh Abu Akleh.
“Al-Jazeera memutuskan untuk mendakwa pelaku pembunuhan itu melalui badan perundangan antarabangsa,” ujar Al- Qamari kepada Middle East 24 News.
Pada minggu lalu, Al-Jazeera menyiarkan gambar peluru berkaliber 5.65 mm yang dikatakan digunakan zionis Israel untuk membunuh Abu Akleh. – HARAKAHDAILY 21/6/2022