Penyatuan ummah teras kestabilan politik negara

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kesedaran terhadap kebangkitan ummah digembleng PAS bersama rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) untuk menyelamatkan negara pada masa hadapan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pendirian tersebut selaras dengan kenyataan dibuat pimpinan tertinggi PAS sebelum ini.

Katanya gagasan penyatuan ummah merupakan ramuan utama politik Islam selain stategi lain bagi mendepani cabaran Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Agenda tersebut menyatukan semua kumpulan berteraskan ikatan Melayu-Islam dengan tidak menafikan hak kepelbagaian kaum di negara ini,” katanya pada kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Beliau turut yakin prinsip penyatuan ummah sebagaimana disarankan dalam al-Quran diterapkan dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang menjadi ramuan utama politik Islam.

Menurutnya meletakkan kepentingan Islam sebagai keutamaan sesuai dengan identiti Malaysia di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat sedar penipuan dan kerakusan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika menerajui negara selama 22 bulan selepas menang pada PRU14,” katanya yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Beliau juga berkata, PAS Kedah senada dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang menolak ‘Khemah Besar’ menjelang PRU tidak lama lagi.

“Gagasan penyatuan ummah yang menjadi teras kestabilan politik pada pasca pandemik perlu diteruskan sekaligus menolak agenda ‘khemah besar’.

“Kita yakin penyatuan ummah mampu memacu kecemerlangan. Prinsip penyatuan ummah akan terus memacu pentadbiran yang cemerlang sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -