Dasar MBI diterjemah segenap perancangan kerajaan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan meletakkan asas yang kukuh melalui dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sebagai panduan dalam segenap perancangan kerajaan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mengorak langkah bagi memastikan dasar MBI dilaksana sehingga boleh dirasai setiap lapisan rakyat.

Katanya dasar itu menjadi panduan sehingga lahirnya kerajaan negeri Kelantan yang bersih.

Kata beliau dasar itu tidak menghalang kerancakan pembangunan, di mana kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan antara kemajuan fizikal dan melahirkan modal insan berkualiti.

- Advertisement -

“Pembangunan projek berimpak tinggi termasuk kemudahan asas bakal menjadi pemangkin terhadap perkembangan serta pembangunan sosio ekonomi Kelantan.

“Usaha itu dilaksanakan melalui Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 yang sudah dan sedang dijalankan,” katanya pada Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’ di sebuah hotel di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah; Speaker Dun Dato’ Abdullah Ya’kub dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad.

Menteri Besar juga berkata, projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta sambungan projek RMK-11 turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Antaranya projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); pembangunan Terminal Laut Bersepadu di Bandar Maritim Tok Bali; Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3).

Selain itu pembinaan Lebuhraya Utama Tengah (CSR); Projek Rel Pantai Timur (ECRL); Empangan Hidroelektrik Nenggiri, projek tebatan banjir Sungai Golok dan Kompleks Sukan Bukit Merbau.

Sementara itu Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga PKINK berkata, biarpun impak penularan Covid-19, namun anak syarikat kerajaan negeri itu mampu mencatatkan keuntungan memberangsangkan melibatkan sektor perkhidmatan dan perladangan.

“Sebagai menghargai kejayaan itu saya mengumumkan cuti tanpa rekod selama tiga hari kepada semua warga kerja PKINK yang perlu diambil tahun ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -