PAS tetap berusaha selamatkan Muafakat Nasional

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
PAS tetap tidak berputus asa mengadakan rundingan dan perbincangan dengan Umno supaya segala kekeliruan dengan parti itu dapat diselesaikan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, parti itu akan terus berusaha mendekati Umno demi menyelamatkan Muafakat Nasional (MN) kerana tidak mahu kerjasama terbabit terkubur hanya disebabkan sedikit perbezaan pandangan.

Katanya, pembentukan MN untuk menyatupadukan orang Melayu dan Islam tanpa mengira perbezaan politik demi kestabilan negara dan keutuhan ekonomi.

Advertisement

“Kami berharap MN dapat dipertahan kerana ia menjadi titik bersejarah kepada orang Melayu setelah hampir 60 tahun parti terbesar negara dapat bersatu semula pada 2019.

“Bagaimanapun penyatuan itu kini dilihat semakin suram akibat segelintir ahli yang hanya mementingkan diri sendiri berbanding suruhan Allah,” katanya di sini hari ini.

Tuan Guru Hashim juga berkata, Perikatan Nasional (PN) akan terus diperkasakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di mana rundingan termasuk di peringkat negeri-negeri sentiasa berjalan.

Kata beliau di sebalik kerjasama dengan PN, PAS tetap bersama Umno di dalam MN.

“PN juga mempunyai kerjasama dengan parti-parti dari Sarawak dan PN sudah bersedia sekiranya PRU15 diadakan pada bila-bila masa,” katanya.

Bagaimanapun katanya sekiranya Umno masih berkeras untuk bergerak solo, PAS tiada pilihan lain selain daripada bertembung dengan parti itu.

“Kita tidak bersedia berpisah dengan Umno, namun dalam masa sama tetap memperjuangkan penyatuan dan kerjasama dengan parti-parti Melayu lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2022