Pelajar cemerlang SPM amal ayat Kursi sejak tingkatan 3

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Amalan membaca ayat Kursi setiap hari menjadi resipi kejayaan Nur Arina Arifah Arlihamdi, 17, apabila memperolehi keputusan cemerlang 9A+ dan 2A peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumum hari ini.

Keputusan itu sekali gus melayakkannya muncul antara pelajar cemerlang di Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu.

Manakala rakannya, Nur Anis Nadzirah Mohd Jabudi, 17, pula mendapat keputusan 9A+ dan 3A.

- Advertisement -

Kata Nur Arina keputusan yang diperolehi hari ini cukup mengembirakan biarpun sebelum ini menghadapi tekanan kerana sering mengikuti pembelajaran melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, segala tekanan itu bukan menjadi penghalang untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Malah kami lebih bersemangat untuk belajar selain fokus perlu diberikan ketika belajar,” katanya ketika ditemui selepas mengambil keputusan SPM
di Maahad Muhammadi Perempuan hari ini.

Menurut Arina, antara tips yang sering diamalkan memberi fokus sepenuhnya semasa sesi pembelajaran supaya segala ilmu yang dipelajari dapat diserap dengan sebaiknya.

Namun apa yang menarik lagi katanya, sejak tingkatan tiga hingga lima bacaan ayat Kursi sering meniti dibibirnya semasa dalam perjalanan ke sekolah.

Selain itu amalan solat tahajud dan solat hajat sering dilakukannya.

“Ayat Kursi merupakan antara amalan yang saya amalkan. Ayat Kursi seperti kita tahu banyak kelebihannya selain kita meminta perlindungan dan kejayaan dari Allah.

“Dan Alhamdulillah, keputusan yang saya perolehi mungkin berkat dari ilmu yang diajar cikgu-cikgu dan doa ibu bapa,” katanya.

Nur Anis Nadzirah pula berkata, selain memahami apa yang diajar guru beliau turut berkongsi ilmu dengan rakan-rakan lain tentang sesuatu subjek. – HARAKAHDAILY 16/6/2022

- Advertisement -