Jajaran paip baharu dapat atasi masalah air di Kuala Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah yakin gangguan bekalan air yang sering berlaku di sekitar kawasan Kuala Kedah dapat diatasi selepas kerja-kerja pemasangan jajaran paip baharu di bawah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Kubang Pasu siap sepenuhnya nanti.

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata jajaran paip baharu kira-kira 35 kilometer (km) dari Pelubang itu dijangka siap dalam tempoh tujuh bulan dan ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan jajaran paip baharu sepanjang 100km di bawah projek menaik taraf loji itu.

“…ia akan selesai isu bekalan air yang sering terganggu di Kampung Tepi Laut, Kampung Laksamana, Taman Bersatu, Pekan Kuala Kedah, dan banyak taman perumahan di sekitar Kuala Keda… ia fokus kepada permintaan air yang tinggi di Kuala Kedah.

“Kita ada lebihan air terawat di loji sedia ada, cuma sekarang kena ada paip baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek menaik taraf LRA Pelubang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Bina Darulaman Berhad (BDB) Che Had Dhali.

Anak syarikat BDB, BDB Synergy Sdn Bhd merupakan kontraktor lantikan kerajaan negeri untuk projek menaik taraf LRA Pelubang itu.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) sedang merancang projek membangunkan sistem mengatasi masalah kehilangan air tanpa hasil (NRW) yang kini menunggu kelulusan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“…dibuat secara dalaman oleh SADA dengan melantik beberapa syarikat yang telah dikenal pasti, tinggal lagi kita tunggu kelulusan daripada SPAN yang telah nampaknya sangat positif kepada rancangan yang sedang dilaksanakan. Ia turut melibatkan pelaburan pihak swasta yang berdasarkan Akta SPAN 2006, memerlukan kelulusan khas Menteri, jadi kelulusan khas Menteri sedang diusahakan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Muhammad Sanusi berkata antara punca utama gangguan bekalan air adalah kerana infrastruktur terutama LRA yang sedia ada sudah terlalu lama dan tidak mampu lagi untuk terus beroperasi secara cekap berbanding keperluan kepenggunaan air meningkat berlipat kali ganda.

“Projek menaik taraf LRA Pelubang menelan kos RM431 juta dan setelah siap kelak, insya-Allah akan berupaya untuk memenuhi permintaan bekalan air di sebahagian besar wilayah Utara Kedah meliputi Daerah Kubang Pasu, Kota Setar serta sebahagian Yan dan Pendang,” katanya.

Untuk rekod, empat lagi projek menaik taraf LRA ialah melibatkan Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu, Sungai Limau (Baling), Jenun Baru (Pendang) dan Bukit Selambau (Kuala Muda).

Sementara itu beliau berkata selain keadaan loji, gangguan itu juga disebabkan masalah NRW yang pada masa ini berada pada tahap 48 hingga 50 peratus, dan ia sangat merugikan apabila kerajaan rugi dari segi kos air terbuang manakala bagi rakyat pula situasi itu menyukarkan urusan kehidupan seharian. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -