Bagaimana Presiden-presiden Umno sembunyi kelemahan

- Advertisement -

PADA tahun 2003, Perdana Menteri (PM) ke-4, yang juga Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), telah meletakkan jawatannya sebagai PM dan Presiden Umno, setelah menemui penggantinya. Tun M dipercayai merasakan perlu melakukan hal itu kerana serangan kuat bertali arus daripada Barisan Alternatif. Pun begitu, BN masih kuat, mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Beliau juga tidak mahu dipandang hina oleh rakyat atas kesilapan yang beliau lakukan. Jika terus menjadi Presiden Umno dan PM, kemungkinan Umno akan kalah dalam PRU selepas itu. Beliau bertindak bijak mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku, beliau bersara pada waktu puncak dengan meninggalkan legasi terbaik kepada Umno dan nama baik beliau juga terjaga. Tun M hanya terpaksa ke mahkamah kerana menjadi saksi kes orang lain, tetapi bukan kes beliau.

Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah, kemudiannya dipilih menjadi Presiden Umno dan masuk ke pejabat Perdana Menteri bagi mengambil alih tugasan daripada Tun Mahathir. Dikenali sebagai ‘Mr. Clean’, Pak Lah kemudiannya memenangi PRU-11 dengan kemenangan sangat bergaya, mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

Namun, setelah ada beberapa laporan yang beliau sering tertidur dalam mesyuarat, lemah dalam membuat keputusan, imej ‘Mr. Clean’ itu kemudiannya tidak lagi menjadi keramat baginya. Apatah lagi imej waraknya tercalar teruk dek kerana sekeping gambar makan malam di Hotel D’Riyaz, Duyung, beliau sedang memegang bahu Michelle Yeoh tanpa berlapik.

Beliau diserang Tun Mahathir dibantu oleh Dato’ Seri Najib, supaya meletakkan jawatan. Setelah mencuba beberapa kali, beliau akhirnya gagal mempertahankannya. Beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai PM dan juga Presiden Umno setelah kira-kira enam tahun berkuasa. Bagi mempertahankan dirinya, beliau menyalahkan Tun kerana gangguan terhadap pemerintahannya. Pak Lah tiada kes mahkamah, tiada kes salah laku yang didakwa.

DS Najib naik pada tahun 2009. Di bawah pimpinannya sebagai Presiden Umno, BN masih menang PRU-13, tetapi majoriti dua pertiga tetap gagal diraih kembali. Beliau bertungkus lumus mengembalikan kepercayaan rakyat. Tetapi isu 1MDB, GST dan beberapa lagi, telah menenggelamkan usahanya itu. Beliau lemas dalam kolam buatannya sendiri.

PRU-14 menyaksikan buat pertama kalinya BN kalah. DS Najib membuat keputusan bijak dan bertanggungjawab sepenuhnya dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno. Tetapi kes salah guna kuasa tetap berjalan di mahkamah. DS Najib berkuasa selama sembilan tahun sebagai Presiden Umno dan PM. Malah sekarang nama beliau dipuja kembali untuk menjadi PM. Dalam masa yang sama, beliau berbalah dengan Tun M, mendakwa Tun M berbohong.

Penggantinya ialah Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. Presiden Umno yang paling lemah dan tidak pandai menyembunyikan kelemahan dirinya. Beliau baru sahaja naik menjadi Presiden, tetapi terpaksa memilih Dato’ Seri Ismail Sabri menjadi PM kerana Zahid dibicara dengan kes salah guna kuasa. Dan kes itu bersusun-susun banyaknya. Mungkinkah dia kekal sebagai Presiden Umno yang tidak dilantik menjadi PM? Dia tidak mampu menyalahkan sesiapa, kecuali Presiden PAS.

Sekurang-kurangnya Najib mengambil sembilan tahun sebagai PM dan Presiden Umno sebelum dihadapkan ke mahkamah, tetapi Zahid, tidak sampai tiga tahun, sudah kena tangkap. Bukti yang beliau tidak layak menjadi pemimpin. Yang beliau tahu ialah mencari jalan menyalahkan orang lain dalam masalah yang beliau ciptakan sendiri.

Mujur rakyat sangat cerdik sekarang, tidak mempercayai cerita-cerita rekaannya kepada Presiden PAS semenjak beliau merasa Umno kuat. Padahal dahulu, beliaulah yang meminta maaf kepada Presiden PAS atas kejahatan Umno kepada PAS. Mahu jadi baik, kena cerdik. Tapi kalau mahu jadi jahat, kenalah lagi lebih cerdik berganda-ganda, Zahid weii….! Jangan sampai orang tahu jahat kita.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 15/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -