Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Sebarang aktiviti pembalakan di Kelantan dilaksanakan mengikut undang-undang dan kuota yang dibenarkan kerajaan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebarang aktiviti pembalakan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan sentiasa dipantau agensi berkaitan.
Malah katanya, aktiviti pembalakan sebenarnya sudah lama berlaku memandangkan ia merupakan hasil kepada kerajaan negeri.
“Seharusnya tidak timbul sebarang isu kerana mana-mana syarikat pembalakan perlu mendapat kelulusan sebelum melaksanakan aktiviti pembalakan.
“Oleh itu mana-mana pihak usah cuba manipulasi dengan tujuan politik dengan mendedahkan berhubung aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim hari ini.
Baru-baru ini Pengerusi Save Kelantan Dato’ Husam Musa pada hantaran di media sosial mendakwa berlaku pembalakan di kompartmen 26 di HSK Nenggiri yang diwarta, namun dilulus untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Daulah Najah Sdn Bhd.
Husam yang juga pemimpin Amanah Kota Bharu mendakwa berlaku ‘kecurian’ balak di kompartmen 25.
Mohd Amar berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil tindakan sekiranya terdapat laporan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya juga Daulah Najah ditubuh kerajaan negeri bertujuan bagi menyelesaikan hutang projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat.
“Kerajaan tubuh Daulah Najah dan diberi konsesi pembalakan untuk membayar hutang syarikat terbabit kepada kontraktor.
“Sebab itu dalam senarai Daulah Najah ada nama Exco, namun ia bukan syarikat peribadi Exco terbabit seperti yang cuba digambarkan Husam di media sosialnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/6/2022