Miskin Muslim Malawi, menanti huluran tangan Malaysia

- Advertisement -

TERLETAK di Selatan Benua Afrika, Malawi adalah negara ‘terkurung daratan’ ataupun ‘landlocked‘ yang berkongsi sempadannya dengan Mozambique, Zambia dan Tanzania. Anggaran penduduk negara ini berjumlah 18.6 juta (2019), yang dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2038. 

Malawi kekal sebagai salah satu negara termiskin di dunia walaupun telah melakukan pembaharuan ekonomi dan struktur yang ketara untuk mengekalkan pertumbuhan kewangan domestik. 

Ekonominya sangat bergantung kepada pertanian, yang memberi peluang kepada hampir 80 peratus penduduk, namun ia amat terdedah kepada ancaman luaran, terutamanya kejutan iklim. 

Satu yang menyedihkan adalah 70.3 peratus penduduknya hidup dengan kurang daripada $1.90 sehari. Walaupun terdapat sedikit rekod kenaikan penuaian, ketidakamanan makanan terus berada pada tahap yang tinggi. 

Kemiskinan di Malawi didorong oleh produktiviti yang rendah dalam sektor pertanian, peluang terhad dalam aktiviti bukan ladang, pergerakan ekonomi yang tidak menentu, pertumbuhan penduduk yang pesat, dan liputan terhad bagi program jaringan keselamatan dan cabaran sasaran.

Punca lain kemiskinan di Malawi termasuk masalah dengan sektor hiliran pertanian dan penyakit. Kedua-dua isu ini rumit dan mengheret kemiskinan bagi banyak komuniti di Malawi. Komplikasi berkaitan cuaca sering mengejutkan masyarakat luar bandar serta menjerumuskan mereka lebih dalam ke gaung kemiskinan. 

Malawi turut menghadapi cabaran berterusan penebangan hutan, sumber air terhad, perikanan merosot, kapasiti institusi terhad untuk menguruskan sumber asli, dan amalan pertanian yang membawa kepada hakisan tanah dan kesuburan berkurangan.

Kenapa pilih Malawi?

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan pada tahun ini memilih negara Afrika bagi program korban, akikah, penyerahan dana anak yatim, wakaf Al-Quran dan melihat peluang pembinaan telaga tiub bagi masyarakat Muslim miskin Malawi. 

Pada asalnya negeri Yobe di Nigeria telah dipilih sebagai destinasi misi kami. Namun setelah berlaku beberapa masalah teknikal, haluan ditukar ke negara berdekatan iaitu Malawi. 

Cabaran di sini lebih besar memandangkan masyarakat di sana amat miskin dan melarat kehidupannya. Rumah mereka dibina dengan jerami, dedaunan, ranting dan jika berduit sedikitpun, ia akan dibina dengan tanah liat dan bata tanah. 

Ruang kecil itulah tempat mereka berteduh, berlindung dari terik mentari dan kedinginan malam, membesarkan anak anak, mengajari mereka Al-Quran dan hukum hakam serta menjalani kehidupan serba dhaif saban hari.

Kerajaan dan pentadbiran Malawi

Malawi adalah sebuah negara yang secara amnya aman dan mempunyai kerajaan yang stabil sejak kemerdekaan pada tahun 1964. Pemerintahan satu parti berakhir pada tahun 1993 dan sejak itu, Pilihan Raya Presiden dan Parlimen berbilang parti telah diadakan setiap lima tahun. 

Pilihan raya keenam Malawi telah dijalankan pada Mei 2019. Keputusan Presiden telah dibatalkan pada Februari 2020 oleh Mahkamah Perlembagaan dan Pilihan Raya Presiden baru diadakan pada 23 Jun 2020.

Lazarus Chakwera dari Parti Kongres Malawi dan Saulos Chilima dari Parti UTM masing-masing dipilih sebagai Presiden dan Naib Presiden selepas mendapat 58.6 peratus undi. 

Mereka menang menentang Peter Mutharika dari Parti Progresif Demokratik dan gabungan Barisan Demokratik Bersatu, yang menerima 39.4 peratus undi. Presiden Lazarus Chakwera dan Naib Presiden Saulos Chilima mengetuai gabungan sembilan parti politik yang dikenali sebagai Tonse Alliance.

Asasnya, negara ini ditadbir dengan aman tanpa konflik besar seperti negara Afrika yang lain. Tiada perang saudara, tiada pihak pemisah. Mereka disebut dan digelar sebagai ‘The Warm Heart of Africa’ merujuk kepada budi pekerti rakyat yang amat tinggi dengan pengunjung luar.

Islam di Malawi

Islam adalah agama kedua terbesar di Malawi selepas Kristian yang mana hampir semua umat Islam Malawi bermazhab Sunni. Banyak data dan rekod menyebut umat Islam di sini mewakili 13.8 peratus sahaja. 

Ini membawa makna bahawa biarpun Islam ‘agama kedua terbesar’ di sana, namun ia hanya minoriti ataupun mewakili margin kecil sahaja sedangkan Kristian melebihi 70 peratus.

Apa yang membimbangkan adalah menurut Malawi Religion Project yang dikendalikan oleh University of Pennsylvania, pada tahun 2010 terdapat kira-kira 25.6 peratus Muslim di Malawi dan kebanyakannya tertumpu di Wilayah Selatan.

Persoalannya, mengapa 25.6 peratus menurun dengan mendadak sehingga tinggal 13.8 peratus sahaja? Tempoh lapan tahun, secara datanya

Sejarah kedatangan Islam

Islam tiba di Malawi dengan pedagang Arab dan Swahili yang berdagang gading, emas dan kemudiannya hamba bermula dari abad ke-15. Ada juga yang berpendapat bahawa Islam pertama kali tiba di Malawi melalui pedagang dari Kesultanan Kilwa. 

Dua orang ulamak, Shayhks Abdallah Mkwanda dan Sabiti Ngaunje, juga memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Malawi. Menurut UNESCO, masjid pertama dibina oleh pedagang gading Swahili-Arab.

Semasa era penjajahan, pihak berkuasa di negara itu bimbang Islam menjadi ancaman terbesar, sebagai ideologi penentangan, terhadap pemerintahan mereka.

Pandangan ini dikongsi oleh mubaligh Kristian, yang sangat takut bahawa Islam boleh menyatukan orang Afrika dalam permusuhan dan pemberontakan menentang pemerintahan kolonial.

Seorang Muslim Malawi yang penting adalah Bakili Muluzi, yang pertama (dan satu-satunya) Presiden Malawi yang dipilih secara bebas dari 1994 hingga 2004. 

Seorang lagi warga Malawi Muslim yang penting ialah almarhum Sidik Mia, yang merupakan menteri dalam Perikatan Tonse yang dipilih dalam Pilihan Raya tiga pihak Malawi 2020 dan meninggal dunia pada 2021.

Tunai ibadah korban, akikah di Malawi

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan menjemput umat Islam negara ini untuk menunaikan korban dan akikah di Malawi. Biar Aidil Adha tahun ini mereka dapat peluang menikmati sedikit daging segar.

Biar anak anak Islam di Malawi merasa keseronokan dan kegembiraan Aidil Adha. Naskhah Al-Quran yang juga akan kami bawa ke sana diharap membantu pendidikan, pengajian serta aktiviti menghafaz. 

Dana anak yatim pula akan disalur kepada mereka yang memerlukan dengan kerjasama International Muslim Women Union, Malawi Chapter. Insya-Allah.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Setiausaha Yayasan Amal Malaysia
Cawangan Kelantan – HARAKAHDAILY 15/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -