Kenapa tak ramai mengundi dalam pemilihan PKR?

- Advertisement -

PROSES pemilihan pucuk pimpinan PKR telah pun selesai. Keputusan telah pun diketahui, Rafizi mengalahkan Saifuddin untuk jawatan Timbalan Presiden. Ramai pimpinan lama khasnya yang pro Anwar kecundang. Keputusan rasmi khabarnya akan diumum dalam Kongres PKR hujung bulan ini.

Yang menarik walaupun gegak-gempita diraikan kemenangan Rafizi serta konco-konconya tetapi mengikut rekod hanya 12 peratus ahlinya yang layak mengundi telah keluar mengundi. Bermakna kemenangan ini sebenarnya hanya mewakili peratusan kecil dari jumlah ahli PKR yang sebenar.

Apa kesan atau petunjuknya? Jika ditanya orang kebanyakan sudah pastilah 12 peratus tidak mewakili atau mencerminkan suara ahli-ahlinya yang sebenar. Ingatkah kita pada PRN Johor baru-baru ini?

SPR mengumumkan hanya 54.92 peratus dari 2,597,742 yang layak mengundi telah keluar mengundi. Bermakna lebih separuh. Itupun telah mendapat kecaman ramai kononnya keputusan PRN Johor tidak mewakili suara rakyat Johor kerana masih ramai yang tidak keluar mengundi.

Bagaimana dengan hanya 12 peratus dalam pemilihan PKR? Cuba kita lihat apa komen Institut Darul Ehsan (IDE) terhadap peratusan keluar mengundi PRN Johor. Menurut Berita Harian 15 Mac 2022 IDE ketika itu menyatakan:

“Status pengundi turun mengundi adalah satu tanda aras utama bagi mengukur bagaimana rakyat berpartisipasi dalam kerajaan negeri.

“Peratusan keluar mengundi yang tinggi amat penting dalam mengukur pengukuhan demokrasi, manakala peratusan keluar mengundi yang rendah sering dikaitkan sikap pengundi dan rasa ketidakpercayaan terhadap proses politik yang berlangsung,”

Siapa IDE? IDE adalah badan pemikir Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai PKR.

Jika itu alasannya untuk PRN Johor bagaimana pemilihan PKR? Ahli tak minat? Demokrasi tidak lagi kukuh dalam PKR? Ahli PKR sudah tidak percaya pada proses pemilihannya sendiri?

Berani IDE buat analisa begitu? Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -