YADIM alu-alukan pencalonan Anugerah Keluarga Mithali 2022

Foto daripada FaceBook Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia - Yadim.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memperkenalkan kategori baharu untuk Anugerah Keluarga Mithali 2022.

Justeru, YADIM telah meluaskan penyertaan anugerah pada tahun ini kepada kaum utama di Malaysia dengan mengambil aspirasi Keluarga Malaysia, dengan masih mengekalkan kategori sedia ada.

Menurut laman Facebook YADIM, Anugerah Ibu Mithali telah diperkenalkan secara bersiri mulai tahun 1980.

Ia adalah satu wadah penghargaan kepada kaum ibu, insan yang banyak berjasa, terutama dalam usaha memupuk generasi akan datang.

- Advertisement -

Jasa dan peranan yang dimainkan oleh ibu sentiasa dikenang oleh YADIM.

Setakat ini seramai 11 orang ibu telah berjaya dipilih menjadi Ibu Mithali dari tahun 1980 hingga 2017.

Pada tahun 2014, YADIM telah memperkenalkan tiga kategori baharu menjadi empat kategori terbuka kepada semua warganegara beragama Islam di Malaysia iaitu Anugerah Keluarga Mithali, Anugerah Bapa Mithali, Anugerah Ibu Mithali dan Anugerah Pewaris Harapan.

YADIM mengalu-alukan semua pihak untuk mencadangkan calon-calon yang terbaik untuk sembilan kategori Anugerah Keluarga Mithali 2022 iaitu Anugerah Keluarga Mithali (Kaum Melayu), Anugerah Keluarga Mithali (Kaum Cina), Anugerah Keluarga Mithali (Kaum India), Anugerah Keluarga Mithali (Etnik Sarawak), Anugerah Keluarga Mithali (Etnik Sabah), Anugerah Keluarga Mithali (Orang Asal), Anugerah Ibu Mithali, Anugerah Bapa Mithali dan Anugerah Pewaris Harapan.

Kriteria pencalonan ialah keluarga rabbani yang terserlah dengan akhlak, sahsiah dan jati diri yang terpuji, keluarga yang cemerlang dalam pendidikan dan menyumbang bakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara, keluarga yang harmoni dan saling memelihara hubungan kekeluargaan dengan baik, keluarga yang boleh menjadi teladan kepada keluarga yang lain serta warganegara Malaysia yang beragama Islam (salah seorang ahli keluarga sama ada bapa/ibu anak beragama Islam).

Penyertaan anugerah itu hendaklah melalui borang pencalonan yang boleh diakses melalui aplikasi google form: https://forms.gle/tz6k4kW13ZhZuaMw6 atau muat turun melalui laman sesawang YADIM di alamat www.yadim.com.my.

Borang pencalonan hendaklah diisi oleh sama ada jabatan kerajaan/swasta/badan bukan kerajaan (NGO)/orang perseorangan dengan mengisi butiran calon yang difikirkan layak.

Maklumat itu adalah untuk keperluan Jawatankuasa Pemilihan Majlis Anugerah Keluarga Mithali 2022 dan ia adalah sulit.

Panduan bagi pihak yang mencalonkan: Borang hendaklah diisi oleh pihak yang mencalonkan sahaja berdasarkan pemerhatian dan penyelidikan atau temu bual latar belakang kehidupan calon tersebut.

Pencalonan hanya sah dengan menggunakan borang pencalonan rasmi yang dikeluarkan oleh YADIM di laman sesawang dan secara google form. Lampiran bahan bukti seperti video, gambar, salinan anugerah yang pernah diterima dan lain-lain adalah digalakkan.

Hanya satu kategori anugerah sahaja yang layak dimenangi oleh satu keluarga.

Borang pencalonan hendaklah diisi dengan sempurna dan DISAHKAN oleh salah satu pihak yang berikut: Ketua Jabatan/Pegawai Daerah/Pegawai Tadbir Agama/Pengerusi NGO/Penghulu atau Ketua Kampung.

Ahli Jawatankuasa Majlis Wanita Islam YADIM (MAYA), Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, pegawai dan kakitangan YADIM tidak boleh dicalonkan.
Tarikh tutup pencalonan secara google form atau serahan borang adalah pada 31 Julai 2022.

Alamat surat menyurat:
Sekretariat
Majlis Anugerah Keluarga Mithali 2022
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Aras 3 & 4, Blok D
Kompleks Islam Putrajaya
No.3, Jalan Tun Abdul Razak
Presint 3,
62100 Putrajaya

Sebarang pertanyaan mengenai borang pencalonan ini, sila hubungi sekretariat di talian 03-8870 3870/ 0197133739 (Rohaizah)/ 0182206759 (Mohd Khusnaini)/ 01121282125 (Afiqah) atau e-mail: [email protected] – HARAKAHDAILY 8/6/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -