Tak cukup sebulan, jamuan Aidilfitri diteruskan pada Zulkaedah

Kakitangan Muslimat Harakah bersama juadah jamuan Aidil Fitri di Kuala Lumpur pada 1 Jun 2022. (FOTO SAIDAH HAIRAN)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH dan HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Dua tahun suasana rumah terbuka sebelum ini terasa cukup asing disebabkan pandemik Covid-19, akhirnya Syawal 1443H menjadi tahun pembuka kemeriahan jamuan Aidilfitri di era endemik ini.

Tidak cukup 30 hari Syawal, masiah ada yang masih mengadakan jamuan Aidil Fitri pada bulan Zulkaedah ini. 

- Advertisement -

Tidak ketinggalan, Badan Kebajikan Kaki Tangan Harakah (BAKKAH) sehubungan itu telah mengadakan jamuan Aidil Fitri khusus untuk kakitangannya yang berlangsung pada hari ini (1 Jun) bersamaan 1 Zulkaedah.

Walaupun sambutannya serba sederhana, tetapi ia cukup untuk memberi ruang dan peluang buat warga sekalian Harakah bagi lebih saling kenal mengenal dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (kiri) hadir memeriahkan majlis jamuan Aidil Fitri Harakah. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Tiada cabutan bertuah, atau hiasan pelita dan ketupat yang bergantungan, namun kesemua juadah Aidil Fitri pada majlis jamuan tersebut lengkap terhidang menyambut kedatangan Zulkaedah.

Terdapat hidangan lemang, rendang ayam, sate ayam dan daging bersama nasi impit serta kuah kacang, kek sambutan hari lahir kaki tangan, nasi arab dan aneka buah dan jus lemon.

Kamal Ashaari (kanan) meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Harakah sempena majlis jamuan Aidil Fitri 1443H. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Diserikan lagi dengan sajian ketupat, biskut raya, puding trifle, sagu gula melaka, aneka kuih muih, kek dan pencuci mulut.

Bukan sekadar mengisi perut, majlis sebegini ternyata mampu mewujudkan budaya kerja yang lebih sihat. Suasana majlis berjaya memperlihatkan betapa rapatnya hubungan silaturrahim dan kekeluargaan antara kakitangan Harakah.

Tetamu VIP, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harakah, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Harakah, Kamal Ashaari turut hadir memeriahkan suasana dan meluangkan masa bersama kakitangan akhbar ini.

Majlis jamuan Aidil Fitri yang diadakan ini jelas sekali berjaya menyirnakan jalinan ukhwah kakitangan Harakah. (FOTO JAMAL KEMALA)

Apa yang penting jelas tersirna jalinan ukhwah antara bos dan kakitangan Harakah sebagai suatu keluarga besar, aspek penting dalam menjamin keutuhan sesebuah organisasi.

Semoga majlis ini dan majlis-majlis seterusnya yang bakal diadakan pada masa hadapan diberkati Allah SWT agar ia berterusan mampu merapatkan ukhwah kakitangan Harakah agar kekal utuh. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -