Faktor kejatuhan kerajaan, kekalahan PAS di Kelantan

- Advertisement -

KEJATUHAN Kerajaan PAS di Kelantan pada tahun 1978 selepas 18 tahun memerintah menerusi kekalahan dalam Pilihan Raya Umum merupakan iktibar emas buat para pendukung perjuangan Islam. Ianya memiliki penyebab teguh yang tidak boleh dinafikan, namun mesti diambil pengajaran agar tidak berulang.

NAIB Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan telah mengemukakan faktor yang berada dalam lipatan pengalaman dan sejarah dihayati beliau.

Ikuti sambungan kupasan Bahagian Pertama beliau dari faktor kemenangan kepada Bahagian Akhir ini mengenai faktor kekalahan sempena Forum Sambutan Ulang Tahun 70 Tahun PAS Peringkat PAS Kawasan Dungun di Pekarangan Surau Tuan Guru Haji Zainal, semalam.

Tak ‘kabar’, lupa diri

Cerita Dato’ Mohd Amar, ketika PAS jatuh pada tahun 1978 itu, beliau berada di Tingkatan 6 menunggu peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran (STP). Ketika terjadi rusuhan beliau turut serta berada di depan Dewan Negeri duduk atas bangunan di situ di mana Ibrahim Ali telah naik berucap.

Jelasnya, kejatuhan setelah PAS memerintah 18 tahun setelah itu adalah disebabkan faktor sama berlaku dalam sejarah dunia iaitu kerana tidak ‘kabar’ atau tidak sedar iaitu telah ‘lupa diri’.

“Kejatuhan kerajaan, kejatuhan empayar, kejatuhan dinasti ini kalau kita baca dalam Quran, dan kita tengok dalam sejarah dunia, sama saja. Sama ada sejarah Islam ataupun bukan Islam, iaitulah bahasa mudahnya, (adalah kerana) lupa dirilah,” ujarnya.

Terang beliau, walaupun bukan semua pemimpin bersikap demikian, tetapi lupa diri menyebabkan jawatan tidak dirasakan sebagai tanggungjawab, tetapi dianggap satu keistimewaan. Di mana antara sikap itu adalah mahu kepada harta atau kemasyhuran barang serta menambahnya. 

“Sehingga akhirnya tugas (tanggungjawab) dia yang asas itu tak ada, hilang. Wakil rakyat cara Wakil Rakyat sebagai contohnya, Exco cara Exco. Jadi ini (lupa diri) antara faktor yang besar. 

“Jadi kalau kita semua Exco, Wakil Rakyat, dan pimpinan-pimpinan lain kena sentiasa ‘kabar’ (sedar), orang kata kabarkabar bahasa mudah, saya kecek (kata) kabar lah. Biar kabar sokmo (sentiasa), kita ini ada tanggungjawab, kita naik ini pun kerana orang undi kita. 

“Dan kita kena ingat rakyat ini walaupun dia duduk kampung menoreh getah, dia perhati, dia perhati Tok Wakil ini. Kita tengok dia tak cara, duduk kedai kopi, duduk menoreh getah, duduk tanam padi, tapi sebenarnya dia perhati lagu mana Tok Wakil dia ini,” nasihat beliau.

Menurutnya, apabila rakyat sebagai pengundi tidak berpuas hati, mereka akan mengubahnya dan kelemahan di Kelantan pada waktu itu apabila terdapat ramai pemimpin atau Wakil Rakyat yang lupa diri di mana mengambil kesempatan daripada jawatan dan selepas itu berebut jawatan. 

“Antara isu besar kalau saya boleh sebut, sebab orang ini mati belaka dah. Ialah berebut nak jadi Menteri Besar lah. Itu cerita dia. Kalau kita baca dalam sejarah itu kan, berebut menjadi Menteri Besar. 

“Orang ini nak, orang ini nak, orang itu nak, orang ini nak, akhirnya bergomo (bergaduh) sesama sendiri. Bergomo sesama sendiri, jatuhlah (kerajaan). Dan Umno duduk tunggu peluang itulah,” ujarnya.

Mengetengahkan sejarah, Dato’ Mohd Amar berkata, berlakunya kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol selepas 800 tahun memerintah, adalah kerana berbalah sesama sendiri.

Berpecah sesama sendiri

Menurut beliau, wujud ‘groups‘ kerana masing-masing hendak duduk di atas menjadi ketua dengan adanya puak itu dan ini, di mana daripada sebuah kerajaan yang besar, akhirnya menjadi berpecah kepada kerajaan kecil-kecil. 

“Kadang-kadang ada di kalangan kita memikir sempit. Sempit lagu mana? Aku PAS Dungun, hat itu PAS Kemaman, orang ini PAS Besut. Sebenarnya tak boleh lagu itu. Kita orang PAS ini orang PASlah.

“Dia tak ada (masing-masing) PAS Besut, PAS Dungun, PAS Kemaman, tak ada. Dia PAS ini PAS. Cuma kebetulan orang ini duduk Besut, kebetulan orang ini duduk Kemaman, kebetulan orang ini duduk Dungun, itu saja. Tapi kita semua ini orang PAS. 

“Kalau kita main ha aku PAS Dungun, aku orang PAS Pengkalan Chepa, berbalahlah kitanya. Pasal kita duduk besar kawasan, kita tidak nampak perjuangan kita mana hat kita nak. Ha ini kena pakat ingat belaka.

“Kalau kita duduk lagu itu, orang ini kawasan itu, orang ini kawasan ini, berbalahlah. Orang kawasan Dungun nak ke dia, orang Kemaman nak orang dia, orang Besut nak orang dia, akhirnya sama kita bergomo,” ujarnya.

Optimis beliau, sekiranya para pimpinan dan ahli PAS dapat menjaga pentadbiran kerajaan yang dikurniakan Allah SWT hari ini, ia akan dapat bertahan bukan setakat 30 tahun, tetapi sampai Kiamat sekali pun dengan izin-Nya.

Wasiat ikhlas

Mesra dikenali dengan panggilan Dato’ Nik Amar, beliau mengungkap kembali ucapan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Almarhum Prof Zulkifli Muhammad iaitu 16 jam sebelum maut bersama isterinya dalam tragedi kemalangan di Kuantan, Pahang.

Pesanan itu jelasnya, ketika PAS menang di Kelantan tahun 1964 dan baru boleh menubuhkan kerajaan yang diucap di hadapan Wakil Rakyat dan pimpinan negeri di mana ucapan terakhir itu dikenali sebagai Wasiat Zulkifli Muhammad.

“Kita boleh jadi bodoh, kita orang PAS ini boleh jadi kita bodoh, boleh jadi kita tak tahu gapo satu. Boleh jadi kita tak pandai merancang. Tetapi kalau kita ikhlas, Tuhan akan tolong kita,” ujarnya mengulang isi penting wasiat itu.

Katanya, pesanan besar itu menegaskan pentingnya ikhlas dalam perjuangan terutama apabila menjadi pemimpin kerana kadang-kadang yang beronar dalam PAS adalah dalam kalangan pemimpin sendiri. 

“Orang kampung molek-molek ada, hat lari ini dengan pemimpin masuk PANlah, tubik (keluar) partilah, macam-macam. Jadi hat ini (ikhlas) penting kena pakat jaga,” nasihatnya.

Sebut beliau lagi, akan wujud orang yang ada cita-cita peribadi hendak duduk dan merancang berada di posisi atau kepentingan tertentu di mana ia akan merosakkan jemaah. 

“Dia akan pijak kepala orang itu, pijak kepala orang ini. Lebih-lebih lagi kalau dia tak ada kelayakan. Kalau dia ada kelayakan mungkin dia boleh naik. Tapi bila dia tak ada kelayakan, dia akan buat benda yang khianat.

“Orang tak pandai main bola, cah keting (cantas)lah kerja dianya. Kalau dia pandai main bola, dia tak cah keting orang, tak khianat. Sebab itu Brazil kalau tengok pasukan yang hok saya paling minat Brazil. Dia mana khianat orang. 

“Benda ini kalau kalau sebab dia main dengan skil. Dia menang pun orang tak dengki, dia kalah pun orang tak menganjing, pasal dia main bersih. Main bersih. Tapi kalau pasukan dia memang tak ada skil, dia cah ketinglah, tarik seluar, macam-macam dia buat,” ujarnya memberi perumpamaan.

Carilah ‘rahsia’ menang kalah

Seseorang yang ada kelayakan bagus ujarnya, tidak perlu hendak ‘gegey‘ iaitu bising atau riuh kerana seperti mutiara di laut dalam dengan harganya itu mahal menyebabkan penyelam sanggup bertarung nyawa mengambilnya.

“Berlian lagu itu juga dalam bumi itu, di Afrika itu, berapa dalam masuk batu-batu, tapi orang gali sebab apa? Harga dia mahal. Jadi kita ini biar kita ini harga mahal. Biar kita ini jadi berlian, biar jadi mutiara, tak usah ‘gegey’ pun tak apa, orang cari. 

“Sebab itu ada orang cerdik dia kata, kita ini biar jadi serupa bunga yang wangi, pergi mana pun orang hidu bau dia ini, tapi jangan jadi taik kering. Taik kering ini tutup hidung pun busuk. Tidak gitu?” ujarnya sambil turut menyindir Umno.

Namun katanya juga, keikhlasan pasti diuji Allah terutama ketika memperolehi jawatan di mana kejujuran pasti akan terlihat dan sekiranya berkhianat sudah tentu orang itu tidak juga.

Dengan ikhlas juga yakini beliau, tidak akan ada musuh dapat mengalahkan dan PAS dengan usia perjuangannya yang sudah lama daripada hanya di kampung tetapi kini sudah berada di Putrajaya.

“Siapa dia fikir PAS ini boleh duduk di Putrajaya? Orang duduk buat menganjing ke kita, menang 18 kerusi nak perintah dengan gapo dia kata? Tidak begitu? Macam macam orang kata. 

“Tapi nak oyak kerja tuhan, Allah S.W.T mentakdirkan PH ini jatuh, bila jatuh, PAS ini naik walaupun tumpang orang, tapi duduk di Putrajaya. Ada tiga Menteri, lima Timbalan Menteri. Insya-Allah sekali dua kali lagi pilihan raya ini, Perdana Menteri orang PAS insya-Allah. 

“Kalau tak ada orang, hamba (saya) tak apa, kalau tak ada orang. Seronok juga jadi Perdana Menteri ini. Duduk beri ke orang semacam, kita duduk main PM tepi, PM tepi, bukan dia,” guraunya mengusik hadirin.

Menurutnya, sekian lama PAS dipentas perjuangan politik, ramai yang tidak terfikir akan memerintah sebagaimana juga di Kedah ketika Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor selaku Presiden dari Kedah, tetapi belum boleh jadi kerajaan.

Pemerintahan PAS di Kedah hanya ditakdirkan Allah semasa zaman Almarhum Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, termasuk Terengganu yang semua itu katanya merupakan hasil keikhlasan perjuangan hingga Allah memberi kekuatan tersebut.

“Hat ini orang tak boleh lawan kita. Boleh jadi kita tak ada pitih, tak bijak, tak gapo, tapi ikhlas. Orang berjuang Islam ini ingat itu saja, “Nasrun minallahi wa fathun qarib” (pertolongan Allah dan kemenangan yang dekat) – surah al-Fath: 13

“Kadang-kadang kita buat kerja sikit, kita tak buat banyak mana, kerja kita, strategi tak hebat, pitih tak ada, tapi tiba-tiba menang. Kadang-kadang kita perhabis pitih banyak, kalah. 

“Pengalaman kita di Kelantan minta maaf, Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir, Allah masa itu kita kerajaan, pitih mewah, masa itu pitih mewah. Pergi mesyuarat malam-malam boleh elaun, tak pernah berlaku mesyuarat parti ni ada elaun,” ujar beliau.

Katanya, kemewahan masa itu dengan banyak wang dan segala projek, namun takdir Allah PAS kalah dalam PRK tersebut, manakala dalam PRK Kuala Terengganu pula tidak dijangka menerima kemenangan dengan majoriti banyak.

“Kalau kita nak memerintah Malaysia, nak kekal negeri, cari ‘rahsia’ ini. Sebab dia ada rahsia menang, ada rahsia kalah. Kita nak pegang hat mana. Kalau kita ambil rahsia kalah, kalah sokmo la. Tapi kalau kita ambil rahsia menang, insyaAllah menang sampai ke bila,” ujarnya mengajak mencari ‘rahsia’ itu.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -