Penyalahgunaan dadah sintetik meningkat mendadak

Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (kanan), memasukkan kunci sebagai gimik pelancaran Hari Terbuka AADK. Di kirinya, Tuan Sutekno Ahmad Belon.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

DENGKIL: Usaha membanteras dan mengawal masalah dadah semakin mencabar dengan trend penagihan dadah di peringkat global dan serantau berubah serta semakin kompleks.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Seri Wan Dahlan Abdul Aziz, berkata perubahan itu juga memberi kesan terhadap landskap masalah dadah di negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) atau sintetik meningkat mendadak sejak 2017 dengan 69.8 peratus klien yang dirawat pulih oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketagihan dadah ATS dan baki jenis Heroin.

Katanya, antara jenis dadah ATS yang banyak disalah guna di negara ini ialah Pil Kuda atau Yaba, Ecstasy dan Amphetamine yang dikenali dengan nama jalanan sebagai Syabu, Ice dan Batu.

“Pada tahun 2021, jumlah penyalah guna dan penagih dadah yang dikesan oleh AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah seramai 123,139 orang.

“Daripada jumlah ini, 80,246 orang atau 65 peratus adalah klien AADK dengan 73,113 orang atau 91 peratus menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti, manakala 7,133 orang atau 9 peratus mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi,” katanya, hari ini.

Teks ucapan Wan Dahlan dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Kawalan KDN, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa ketika merasmikan Hari Terbuka AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di sini. Turut hadir Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon.

Wan Dahlan berkata, program ini adalah antara inisiatif KDN untuk meningkatkan usaha kolaboratif dengan jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat bagi menggerakkan aktiviti pencegahan, rawatan dan pemulihan penagihan dadah dalam komuniti.

Beliau yakin program ini memberi peluang kepada ahli keluarga klien dan seluruh masyarakat mengenali AADK secara dekat.

Menurutnya, AADK telah menambah baik dan memantapkan kaedah rawatan serta pemulihan penagihan dadah yang merangkumi keperluan biologi, psikologi, social dan spiritual seseorang klien itu di bawah Model i-Pulih AADK.

Katanya, modul dan silibus yang komprehensif dan holistik Model i-Pulih AADK dibangunkan sendiri oleh pegawai pemulihan AADK dan ditanda aras dengan pendekatan amalan berasaskan bukti yang digunakan oleh pusat pemulihan penagihan dadah antarabangsa.

“Rawatan pemulihan melalui Model i-Pulih AADK memberi peluang kepada setiap klien untuk belajar kemahiran mengenal pasti tanda-tanda awal `relapse’ dan berlatih untuk mengatasi situasi yang menjurus kepada penagihan semula.

Antara tetamu yang menghadiri majlis perasmian Hari Terbuka AADK di PUSPEN Dengkil

“Latihan yang praktikal dan simulasi permainan peranan yang dijalankan menguatkan semangat, ketahanan mental dan fizikal serta membantu mereka bersedia dengan segala kemungkinan untuk menjalani kehidupan harian bersama komuniti,” katanya.

Selain itu, katanya AADK memperluaskan perkhidmatan rawatan dan pemulihan melalui saluran baharu yang berkonsepkan pendekatan berasaskan komuniti yang dijenamakan sebagai Rawatan Pemulihan Mobile AADK (MRT AADK).

Katanya, perkhidmatan MRT AADK adalah kesinambungan kepada perkhidmatan sedia ada yang dijalankan dalam komuniti.

“Saya yakin bahawa perkhidmatan ini yang baru dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 20 Mei lalu akan dapat meningkatkan liputan rawatan dan pemulihan dadah dengan lebih meluas, fleksibel dan cepat kepada kumpulan sasaran di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Sutekno berkata, sambutan Hari Terbuka AADK diadakan untuk memberi informasi dan pendedahan berkaitan perkhidmatan terkini yang AADK sediakan.

“Bagi menggalakkan penglibatan semua pihak, pelbagai pengisian sempena Hari Terbuka AADK 2022 bermula seawal pukul 8 pagi hingga jam 2 petang ini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Program Family Association (FA), kuiz antidadah dan isu semasa serta persembahan klien AADK.

“Aktiviti yang diadakan ini diharapkan dapat mengubah stigma negatif masyarakat bahawa individu yang
terlibat dengan penyalahgunaan dadah ini tidak dapat dipulihkan. Pada masa sama, Hari Terbuka AADK dapat membuka minda individu yang terlibat dengan penagihan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan di fasiliti AADK,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -