Infra Quest kendali 345 menara telekomunikasi

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Infra Quest Sdn Bhd menyumbang RM2.5 juta kepada kerajaan negeri melalui Tabung Serambi Mekah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, syarikat tersebut menjadi antara penyumbang terbesar dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat.

Katanya, Infra Quest ditubuh pada 23 Januari 1997 merupakan agensi penyelaras bagi menguruskan, merancang serta menyelenggara infrastruktur telekomunikasi di Kelantan.

- Advertisement -

“Infra Quest mempunyai tahap kecekapan operasi yang agak tinggi. Syarikat ini antara penyumbang tegar dalam bentuk CSR kepada kerajaan negeri dan rakyat.

“Ini termasuk sumbangan sebanyak RM1.5 juta bagi membeli asrama pelajar di Mesir. Selain itu menyumbang RM 1juta di bawah Tabung Bencana Covid-19,” katanya pada majlis Sambutan Jubli Perak Infra Quest Sdn Bhd di sebuah hotel di sini malam tadi.

Program tersebut dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Ab Aziz juga berkata sejak peringkat awal penubuhannya, Infra Quest hanya mempunyai 29 menara telekonumikasi, namun sekarang mengendalikan 345 menara termasuk teknologi terbaru Rapid Deployment System (RDS).

Bahkan kata beliau dalam tempoh 25 tahun syarikat itu memperolehi keuntungan terkumpul melebihi RM100 juta.

“Infra Quest bermula dengan hanya 10 kakitangan, hari ini mempunyai kekuatan seramai 20 pegawai yang mempunyai pelbagai kepakaran, sehingga mampu menjana pendapatan hampir RM50 juta setahun,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -