Kelantan atasi lokasi capaian internet rendah

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Agensi-agensi kerajaan negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran memberi kerjasama bagi membangunkan secara menyeluruh sistem telekomunikasi di Kelantan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perkembangan jaringan telekomunikasi tersebut dikendalikan Infra Quest Sdn Bhd.

Katanya, jaringan telekomunikasi yang baik mampu memberi impak terhadap peningkatan sosio ekonomi rakyat ketika era maklumat di hujung jari sekarang.

- Advertisement -

Menurut beliau kerajaan negeri turut menaruh harapan besar kepada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) tersebut untuk meneroka peluang baru.

“Semua agensi kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan PBT perlu menyokong apa jua perancangan pembangunan telekomunikasi yang memberikan manfaat kepada rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan syarikat-syarikat telekomunikasi melabur bagi meningkatkan capaian internet berkelajuan tinggi,” katanya berucap pada sambutan Jubli Perak Infra Quest Sdn Bhd di sini malam tadi.

Turut hadir anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Ab Aziz Yunus dan Ketua Pegawai Operasi Infra Quest Sdn Bhd, A’sri Che Ali.

Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga PKINK berkata, syarikat PKINK itu wajar menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan operator telekomunikasi di negara ini.

Menurutnya usaha itu bagi mengatasi lokasi capaian internet yang rendah supaya rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan telekomunikasi dan pembangunan ekonomi ummah. – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -