PASRelief kumpul dana biaya Pusat Islam Arsal Lubnan

- Advertisement -

Oleh ‘IFFAH HANANI

ALOR SETAR:
Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dan Penyerahan Sumbangan Pusat Islam Arsal, Lubnan Bersama NGO dari seluruh Malaysia telah berlangsung di Dewan Melor, Seri Mentaloon di sini, petang kelmarin.

Pengerusi PASRelief, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya setia memegang amanah yang dipertanggungjawabkan orang ramai dalam menjayakan misi kemanusiaan di negara yang terlibat.

“Sumbangan wang yang disalurkan adalah selamat dan sampai ke negara yang memerlukan berkenaan,” katanya.

- Advertisement -

Menurutnya, PASRelief sangat komited dalam mengendalikan isu kemanusiaan yang berlaku.

Beliau juga menceritakan pengalaman delegasi PASRelief yang telah berjaya mengagihkan bantuan kemanusiaan ke negara Syria, Yaman, Bangladesh, Palestin, Mindanao dan lain-lain.

Katanya, tingkat tiga bangunan Pusat Islam Arsal di Lubnan yang dibiayai oleh PASRelief dan NGO lain akan dijadikan tempat anak-anak pelarian Syria, pelarian serta penduduk Lebanon sendiri untuk mempelajari Al-Quran dan ilmu agama.

“Tanggungjawab kita menyalakan obor Islam dan menerajui tempat itu,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kedah.

Beliau menerima sendiri serahan ‘mock cheque’ oleh NGO-NGO yang turut hadir bersama dalam majlis.

Antara NGO yang terlibat sama dalam sumbangan Pusat Islam Arsal, Lebanon adalah Cakna Palestin, Dewan Muslimat PAS Malaysia, Syabab Care, Pertubuhan Dhuafa Sejahtera, Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah, Kelab Kebajikan Masyarakat Sinar (KESINAR), Pertubuhan Bakti Massa, Pertubuhan Luhur, Nusrah Care, Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan Malaysia (MEDICOM), Pertubuhan Profesional Muslim Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin (PIWP).

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah I dan II PASRelief, Dr Suhazeli Abdullah dan Senator Ustazah Nuridah Salleh dan bendahari, Mohd Adram Musa.

Kutipan yang diperoleh masih belum mencukupi dan memerlukan lebih RM100,000 lagi untuk menjayakan pembiayaan pembangunan pusat Islam tersebut. Sasaran kutipan adalah RM500,000.

Sehubungan itu, PASRelief mengalu-alukan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan Pusat Islam Arsal Lubnan tersebut.

Rakyat Malaysia yang prihatin dan dermawan boleh terus menyumbang menerusi akaun Maybank 564070611352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa. – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -