Hapuskan ‘musang’ di sebalik industri ternakan, bekalan ayam

'Jihad Memerangi Orang Tengah' oleh PM mesti menjadi gerakan yang diperluaskan

- Advertisement -

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob jelas telah menunjukkan satu isyarat, penegasan dan amaran apabila mengetengahkan semula ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’. Inisiatif itu pernah dilaksanakan beliau pada tahun 2014 dahulu ketika menjawat selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Jika dahulu ia satu kempen kesedaran kepada golongan petani, penternak dan nelayan serta memperanankan agensi-agensi berkaitan, kali ini ia merupakan satu gerakan. Perdana Menteri tidak hanya mahu mengawal isu kos sara hidup golongan tersebut dan rakyat keseluruhan hingga menyebabkan peningkatan inflasi. 

- Advertisement -

Tetapi beliau kini mengisytiharkan satu ‘perang’! Ia boleh difahami ditujukan kepada para penindas dan pemeras keringat, pemanipulasi harga, pemonopoli stok, pengimport dan pengeksport kroni. Tanpa mengira dalang, jerung, sindiket, kartel atau apa sahaja namanya, para pencatur bekalan dan harga ini mesti dihapuskan.

Langkah ini menyusul selepas beliau mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju tidak lagi mengenakan permit import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuatkuasa 18 Mei lalu. Ia satu langkah untuk menjamin kecukupan bekalan sekali gus berani kerana menggugat monopoli dan penguasaan kartel.

Terbaharu semalam, beliau menunjukkan sikap tidak tunduk kerajaan terhadap ‘permainan’ pihak-pihak tersebut yang cuba mencetuskan panik dan kalut keperluan bekalan ayam. Drama sedang dibikin pihak-pihak tersebut ternyata cuba mengugut kerajaan kerana sikap tamak untuk mengaut kekayaan secara tidak patut.

Sikap melampau ini memang wajar diperangi di mana ia hanya untuk nafsu sekelompok kecil, sedangkan tanggungjawab kerajaan adalah melindungi dan mensejahterakan kepentingan seluruh rakyat. Musang-musang yang bersembunyi di sebalik industri ternakan dan pembekalan ayam ini mesti ditangani. 

Semua kementerian bersama agensi-agensi di bawahnya, serta para pemain industri dan rakyat perlu menyokong jihad ini. Pengalaman Perdana Menteri sejak di masa lalu dalam usaha ini boleh diperhebatkan lagi ke sektor-sektor lain agar segala kesempatan cuba diperalatan pihak kapitalis ke atas rakyat dapat dihapuskan.

Perniagaan mesti dijalankan secara jujur, ihsan, adil dan kompetitif tanpa ada sebarang muslihat yang melampaui batas syarak dan undang-undang negara atau memberi kekuatan kepada ekonomi gelap. Seterusnya sama-sama menikmati kemakmuran dalam negara kita tanpa konflik dan polemik, kerana masa depan kita dalam sektor makanan akan lebih mencabar.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -