4 tahun K’jaan PAS T’ganu: Musuh geram harapan kelam

- Advertisement -

SUDAH empat tahun Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh PAS, mengambil tempat. Begitu pantas masa berlalu, meninggalkan memori kemenangan PRU14 yang menyaksikan kejatuhan Umno-BN buat kali pertamanya di Malaysia. Jerih perit yang dilalui untuk sampai pada hari ini, bukanlah sesuatu yang mudah. Kesukaran mentadbir, sesukar menepis fitnah pada awal-awal tahun pemerintahan. 

Akhirnya fitnah-fitnah itu bagaikan anjing yang menyalak kabilah. Kabilah tetap meneruskan perjalanan mereka ke destinasi bagi tujuan yang lebih penting. Apa sahaja yang PAS lakukan, pasti mereka akan perlekehkan.  Semuanya tiada yang berkenan di hati mereka. Akan tetapi semua fitnah dijawab dengan kejayaan mentadbir negeri sebagai bukti. 

- Advertisement -

Tiada pembangunan besar di Terengganu. Ya, kerana PAS terpaksa memulihkan semula projek-projek yang terbengkalai ratusan juta, hasil tangan pemerintah dahulu. Apabila PAS membaiki kerosakan itu dan berjaya, maka berkata pula mereka, sebab mengambil projek hasil tangan orang. Begitulah kebencian yang ada dalam jiwa mereka. Tetapi bukan ini menjadi keutamaan saya menulis. Saya ingin kongsikan kejayaan PAS Terengganu. Kita sudah jelak membaca kegagalan pemerintah terdahulu. Diratib berulang-ulang, nanti jemu orang membacanya. Kita mulakan dengan GLC. 

Penstrukturan semula menyebabkan prestasi GLC-GLC menunjukkan graf kenaikan keuntungan berlipat ganda setelah PAS mengambil alih. TDM, Hotel Paya Bunga, Duyung Marina Resort, Hotel Permai, Golden Pharos dan Taman Tamadun Islam antaranya. TSIS pula semakin dipercayai dapatan kajian mereka. Isu lain TDM contohnya, sudah bertahun-tahun berada dalam senarai kaunter bukan Syariah di KLSE sebelum 2018. PAS membawanya keluar semula kerana tahu, perniagaan yang haram, tidak diredhai Allah. 

Hutang kepada Pusat, hampir langsai yang dahulunya hampir RM1 bilion. Royalti petroleum dan telaga Bertam berjaya diambil kembali dengan kebijaksanaan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Dari Idris sehingga kepada Razif, maruah Terengganu dirobek-robek dengan hinanya kerana kejahatan Umno mencadangkan royalti petroleum ditarik ketika PAS memerintah 1999-2004. Sehinggakan Tun Mahathir ketika itu secara terang menyebut Umno Terengganu sebagai ‘stupid’. 

Stadium Sultan Mizan yang gah bernilai RM292 yang menjadi ikon lelucon ‘Ultraman’ bergusti dengan ‘raksaksa’ oleh netizen, akhirnya dapat digunakan dengan belanja jutaan ringgit lagi. Selain sebanyak 18 daripada 20 manifesto iaitu 90 peratus telah ditunaikan janjinya, PAS juga berjaya menyelesaikan masalah penduduk di perumahan Setengge. Membeli bangunan bagi menempatkan pelajar anak Terengganu di Mesir. 

Pinjaman pelajar dipermudahkan, mengadakan kerjasama dengan universiti di Algeria bagi pelajar anak Terengganu melanjutkan pelajaran mereka. Masalah air di Kuala Terengganu yang menghantui penduduk sepanjang musim perayaan, telah diselesaikan. Tanah-tanah yang dirampas dahulu, dikembalikan kepada yang berhak. Cukai pintu dikecualikan. Peraturan hiburan diperketatkan. 

Pengiktirafan oleh Perdana Menteri

Kerajaan Terengganu turut dipuji oleh Perdana Menteri dari parti Umno dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Dataran Drawbridge yang tamat semalam, walaupun Umno Terengganu menuduh bermacam-macam hal negatif. Exco Pelancongan pula mendapat pengiktirafan ‘Hero Pelancongan’. Semua rakyat tanpa mengira ideologi, mendapat peluang bantuan, sekiranya layak. 

Kejayaan PAS yang diakui oleh pegawai dan kakitangan kerajaan negeri kerana Exco-exco PAS memang bekerja keras, maka yang tinggal sekarang ialah fitnah, bagi menjatuhkan maruah pimpinan PAS. Tuduhan kepada Exco-exco yang makan rasuah, hidup mewah, tiada dapat dibuktikan sehingga kini. Mereka hanya berani berkokok dalam DUN kerana mempunyai imuniti, tetapi takut ke SPRM. Isu balak yang dituduh ditebang secara rambang juga tiada buktinya. Apa lagi pencemaran maruah yang mampu mereka lakukan kecuali dengan isu salah guna kuasa dan wang. 

Agak kuat fitnah ini berlegar, sehingga ada ahli PAS juga yang mempercayai dan menjadi tukang penyebarnya. Kasihan, kerana dahulu mereka memusuhi Umno dan PH, kemudian, selepas menang, mereka terima pula cerita musuh mereka. Konon mereka berjuang demi kebenaran, tetapi tersasar daripada landasan Islam iaitu menuduh tanpa bukti. Entah ayat dan hadis mana yang mereka baca, seenaknya mendakwa. Watak sebegini sentiasa ada. Sewaktu Presiden PAS menjadi Menteri Besar dahulupun ada berlambak spesis makhluk begini dalam PAS. 

Oleh itu, Umno dan PH yang berangan-angan menawan Terengganu semakin terdesak dengan kejayaan yang dilaksanakan secara beramanah dan berintergriti oleh PAS ini. Dahulu mereka memegang wang royalti, sekarang tiada lagi. Mereka makin lemah, tetapi nafsu tetap besar. Apa lagi umpan yang mereka mahu berikan, kecuali janji-janji kosong diiringi penyesalan, yang sewaktu mereka memerintah dahulu, tidak pula mereka laksanakan. Air mata buaya. Ia hanyalah linangan untuk membaham mangsa. Awas jejak langkah kita. 

Namun, diakui, Kerajaan Terengganu masih banyak kelemahan. Ruang-ruang pembaikian perlu ditutup dengan kerja keras semua. PAS membawa panji Islam, maka memberikan contoh yang baik kepada orang lain adalah kewajipan semua ahli. Akan tetapi kelemahan dalam empat tahun ini semua adalah tersangat jauh lebih baik daripada 50 tahun pemerintah sebelum ini yang sejak dahulu memang lemah. 

Semua rakyat tidak akan lupa jolokan yang diberi, Terengganu sebagai Kuwait Malaysia, tetapi rakyat nombor dua miskin. Jadi, sudah kita nampak jelas kehebatan lebai memerintah. Maaf kepada musuh PAS, insyaAllah harapan kamu merampas Terengganu, semakin kelam dan suram. 

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 23/5/2022

- Advertisement -