Islam dan sains: Pepatung ‘si pengembara’ jarak jauh

- Advertisement -

PEPATUNG atau patung-patung atau sesibur atau sibur-sibur merupakan serangga terbang yang banyak ditemui di kawasan beriklim tropika dan sederhana. Tidak pelik jika pepatung mudah untuk ditemui di negara ini kerana Malaysia juga beriklim tropika. Pepatung dikelaskan secara saintifik dalam order Odonata. Lebih kurang 3,000 spesies pepatung telah dikenal pasti di seluruh dunia. 

Berdasarkan penemuan fosil haiwan yang berbentuk seakan-akan pepatung yang bersaiz besar, pepatung telah wujud di bumi semenjak 300 juta tahun yang lalu. Pepatung dewasa dicirikan dengan satu pasang mata majmuk besar; yang setiap satu daripadanya terdiri daripada ribuan lensa. Pepatung juga mempunyai dua pasang sayap yang kuat dan lutsinar, badan yang memanjang dan juga tiga pasang kaki. Walaupun pepatung mempunyai kaki sama seperti serangga lain, namun ia tidak boleh berjalan. 

- Advertisement -

Antara perkara yang menarik berkenaan pepatung ialah keupayaannya terbang. Pepatung merupakan penerbang yang sangat cekap. Pepatung boleh terbang dalam enam arah iaitu depan dan belakang; atas dan bawah; kiri dan kanan. Helikopter merupakan hasil bio-ajukan (biomimicry) pepatung. Jika dilihat dengan betul, reka bentuk sebuah helikopter menyerupai bentuk pepatung. Helikopter juga berupaya untuk terbang dalam enam arah sama seperti pepatung.

Selain itu, pepatung juga merupakan haiwan yang berhijrah daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Pepatung didapati terbang beribu batu merentasi lautan, dari satu benua ke benua yang lain. Menurut kajian yang dijalankan di Rutgers University-Newark, populasi pepatung spesies Pantala flavescens dengan profil genetik yang sama ditemui di Texas, Kanada Timur, Jepun, Korea, India, dan Amerika Selatan. Penjelasan kepada perkara ini ialah  pepatung merentasi suatu jarak yang amat jauh. Pepatung berhijrah mengikut cuaca, daripada kawasan yang kering ke kawasan yang lembab.

Bagaimanakah cara pepatung merentasi lautan dengan jarak beribu batu dari satu benua ke benua yang lain? Menurut kajian, pepatung telah beradaptasi dengan sayap yang lebih lebar bagi membolehkan mereka memanfaatkan angin untuk membawa mereka terbang. Pepatung ini mengibaskan sayapnya sedikit dan kemudian meluncur mengikut angin untuk satu jangka masa yang lama bagi meminimumkan penggunaan tenaga.

Maha Suci Allah yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, bahkan menciptakan sesuatu itu dengan fungsinya yang tersendiri. Manusia yang melihat dan memerhatikan kejadian alam dengan mata hati pasti akan melihat semuanya sebagai tanda kekuasaan dan kebesaran Allah S.W.T.

Mereka inilah yang disebut Allah S.W.T di dalam al-Quran sebagai Ulul Albab yang mana apabila mereka memerhatikan alam ini mereka ingat kepada Allah S.W.T seperti firman-Nya di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 190 dan 191 yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.”

MOHD IZZUDDIN HASANUDIN
Pembantu Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 23/5/2022

Sumber Asal:https://m.facebook.com/100064392321114/posts/382084523947955/

- Advertisement -