Pertemuan penuh makna dengan Dr Ali al-Qarradaghi

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

- Advertisement -

Pada hari Khamis baru-baru ini 19 Mei, saya diberi peluang untuk bersama sahabat-sahabat Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu – PAKAT untuk bertemu mata dengan Setiausaha Agong Kesatuan Ulamak Sedunia, Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qarradaghi yang hadir ke Terengganu untuk menghadiri beberapa program di sini.

Pertemuan diatur dengan jasa baik beberapa sahabat yang menjadi pengiring Syeikh Dr. Ali di Malaysia dan mendapat kerjasama penuh  daripada Pengurus Besar Duyong Marina Resort (DMR), Ustaz Wan Faizul Abas yang bersusah payah menyediakan tempat pertemuan yang eksklusif antara PAKAT dan Syeikh Dr. Ali.

Sambutan hangat daripada Syeikh

Kehadiran kami pagi itu disambut dengan ramah tamah oleh Syeikh Dr. Ali. Dengan senyuman lebar terukir pada wajah beliau, beliau hampir menegur setiap yang hadir dengan kata-kata yang dipenuhi doa dan ungkapan pendek mengandungi jenaka serta motivasi.

Pagi itu,  terasa hangat dan istimewa hubungan ukhuwah antara kami dengan beliau. Seolah-olah jalinan ukhuwah dan persahabatan itu telah lama terbina erat, walhal inilah pertama kalinya kami berjumpa.

Agenda sarapan didahulukan

Pertemuan pagi itu diserikan juga dengan hidangan sarapan pagi yang diwakili oleh hidangan tempatan dan hidangan Asia Barat. Nasi dagang, Roti arab, Hummus dan buah-buahan segar yang dihiris cantik.

Syeikh Dr. Ali bertegas agar agenda makan pagi didahulukan dengan mengatakan kaedahnya ialah al-‘Asyaa’ sebelum al-‘Isyaa’. Iaitu makan malam didahulukan sebelum Solat Isyak jika makanan sudah terhidang.

Beliau jelas mendahulukan maslahah pihak kami, kerana beliau sendiri kelihatannya hanya lebih mengutamakan makan buah-buahan.

Kerendahan diri seorang tokoh besar

Saya terpegun dengan akhlak tinggi dan layanan eksklusif yang ditunjukkan oleh beliau kepada kami. 

Sedangkan beliau adalah Setiausaha Agong Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang dipimpin oleh Syeikh Dr. Ahmad ar-Raisuuni, dan sebelumnya dipimpin oleh Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi. Kesatuan Ulamak Sedunia sentiasa tegas dalam menyuarakan pandangan berasaskan syara’ dalam  mendepani isu-isu semasa yang berkait rapat dengan kepentingan Ummat Islam di seluruh dunia. 

Selain itu, beliau turut tersohor sebagai dalam dunia fiqh muamalat semasa dengan pelbagai kajian, penulisan dan pelbagai lembaga penasihat syariah.

Sungguh kerendahan diri, tawaduk dan sifat ramah tamah itu adalah pakaian harian beliau dalam berurusan dengan saudara Muslimnya yang lain. Ia tentulah sifat yang lahir daripada hatinya yang dipenuhi dengan cahaya iman yang sinarnya terpancar sehingga menyinari hati kami juga.

Perbualan peribadi

Sebelum tausiyahnya kepada kami sempatlah saya dan kawan-kawan bertanya beberapa soalan berbentuk peribadi kepada beliau. 

Antaranya nisbah nama beliau kepada al-Qarradaghi yang sebenar berasal daripada bahasa Turki yang bermaksud kawasan gunung yang diselaputi kehitaman hutan hijau yang subur. Iaitu satu tempat dalam kawasan Sulaimaniyyah di Iraq. 

Sedikit mengenai keluarganya, sejarah pengajiannya, mengenai kesungguhan bapanya yang inginkan beliau menjadi ulamak syariah ketika pengajian syariah dilihat tidak menjamin masa depan yang baik untuk anak-anak pada era ideologi Komunis menguasai Iraq ketika beliau masih kanak-kanak. Sedikit mengenai perangai ibunya yang sangat tenang dan mengajar beliau menghafaz al-Quran sehingga tamat. 

Sedikit mengenai zaman pengajiannya di Universiti al-Azhar pada zaman al-Imam al-Akbar Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud. Sedikit mengenai Syeikh Muhammad Abu Zahrah yang sempat beliau temui. Dan beberapa perkara lagi.

Kalaulah masa lebih panjang, tentu banyak lagi yang beliau akan kongsikan. Sangat pemurah dengan maklumat. Tidak lokek walaupun sedikit.

Majlis bermula 

Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Kamal Nazmi dan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengerusi PAKAT, Syeikhuna Ustaz Tirmizi Taha. 

Ustaz Tirmizi Tirmizi Taha Ptbr memilih untuk memberi ucapan aluan yang sangat ringkas dan tawaduk untuk memberi peluang yang lebih kepada Syeikh Dr. Ali menyampaikan tausiyahnya

Antara lain kata beliau, tidak perlulah beliau bercakap panjang kerana kecil nilainya jika dibandingkan ucapan yang bakal Dr. Ali berikan, yang jika sedikit sekalipun pun adalah amat tinggi nilainya. Tetapi beliau sangat berharap untuk mendengar ucapan yang panjang daripada Syeikh Dr. Ali.

Tausiyah 

Tausiyah beliau kepada kami adalah amat padat. Dalam masa kira-kira 18 minit ucapannya, isi kandungnya seperti kitab setebal 150 muka surat. Setiap minit penuh dengan intisari ilmu, fikrah, nasihat dan gesaan mempertahankan Islam yang diserang daripada pelbagai penjuru.

Ringkasnya beliau menggariskan 5 cabaran semasa yang sedang melanda Ummat Islam. Seterusnya beliau bercakap mengenai apakah persediaan yang perlu dibuat oleh para ulamak dalam mendepani cabaran tersebut:

1. Cabaran daripada fahaman dan falsafah yang tidak mempercayai kewujudan tuhan. Dengan itu mereka cuba menjauhkan masyarakat daripada berpegang kepada agama. Gerakan ini akan menghapuskan nilai-nilai murni yang diperintahkan oleh agama. Tanpa nilai-nilai ini, manusia akan menjadi seperti binatang di hutan.

2. Cabaran daripada pelbagai gerakan yang menyerang dan cuba menghakis nilai-nilai kekeluargaan dalam masyarakat. Pendukung gerakan-gerakan seperti ini semakin ramai. Mereka cuba menjadikan hubungan songsang sesama manusia sebagai hak asasi individu yang mesti dipertahankan.

3. Cabaran menyempitkan skop agama Islam yang komprehensif sebagai hak amalan peribadi dan keluarga sahaja.

4. Cabaran Sekularisme yang memisahkan Islam daripada politik, ekonomi dan kenegaraan.

5. Cabaran menghadapi golongan yang membawa pelbagai bentuk ajaran, gagasan dan penyelewengan di atas nama Islam, seperti gagasan ‘Ibrahimiyyah‘ yang sedang diatur dan dijaja kepada Ummat Islam untuk melarutkan prinsip Ummat Islam berdepan dengan Zionis dan Kristianisasi. Mereka tetap menggunakan nama Islam untuk menjadikan falsafah mereka diterima oleh Ummat Islam, walhal ia hanyalah wajah Islam yang sengaja diselewengkan.

Dengan itu beliau menyarankan agar para pendakwah dan para ulamak, terutamanya daripada kalangan generasi muda membuat persediaan khas untuk menghadapi gelombang hebat tersebut.

Dua langkah utama yang beliau gariskan ialah;

1. Para pendakwah dan para ulamak hendaklah meningkatkan kemampuan diri daripada aspek ilmu, intelektual dan kedudukan dalam masyarakat. Tidak boleh berpada dengan ilmu yang telah dipelajari dahulu semata-mata. Perlu sentiasa belajar perkara baru berkaitan falsafah pemikiran semasa, teori-teori ekonomi, ilmu-ilmu semasa yang lain, penguasaan bahasa Arab untuk lebih memahami ilmu-ilmu Islam secara mendalam, penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, serta bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan masyarakat setempat.

2. Mendepani cabaran-cabaran yang disebutkan tadi dengan hikmah, peringatan yang baik, dialog, analisis mendalam dan perancangan strategik.

Dua langkah perlu yang beliau tekankan ialah;

1. Kepentingan mempertahankan persepakatan, agar para ulamak tidak berpecah belah kerana isu khilafiah dan perselisihan kecil yang berlaku sesama mereka. Isu-isu yang kita hadapi terlalu besar untuk kita saling berpecah belah. Perlu banyak bersabar dengan ketidakpuasan hati kepada pemimpin, kepimpinan dan pihak lain. Perpecahan hanya akan menjadi tiket kegagalan. 

Beliau mengakhiri topik kesatuan ini dengan memetik beberapa ayat al-Quran mengenai betapa perpecahan adalah tiket untuk kita terus menempa kegagalan.

2. Kepentingan nasihat menasihati. Kaedahnya tidak ada pihak yang terlalu besar sehingga tidak layak untuk dinasihatkan, dan tidak ada pihak yang terlalu kerdil sehingga tidak layak memberikan sedikit nasihat pun.

Tetapi biarlah semua itu berlaku dengan penuh adab dan perasaan ukhuwah yang tinggi.

Seterusnya, majlis diserikan dengan sedikit sesi soal jawab.

Penutup 

Pertemuan itu sungguh indah dan dipenuhi barakah yang mencurah-curah. Masih terngiang-ngiang suara Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qarradaghi di telinga kami. Ucapannya sangat tenang, padat dan menyuntik semangat, walaupun semakin berat bahu-bahu kami dipikulkan dengan tanggungjawab terhadap Ummat yang beliau gariskan.

Perawakannya juga sangat menarik hati. Ramah, tawaduk, mudah berjenaka dan sangat cekap memanfaatkan setiap minit waktu yang ada.

Sebaik saja meninggalkan kami, beliau terus bertolak untuk ke program di UNISZA.  Selepas Zohor beliau dijadualkan untuk menemui Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila. Seterusnya akan ke Kuala Lumpur untuk program di sana pula.

Semoga Allah S.W.T terus memelihara Syeikh Dr. Ali, memberikan beliau kesihatan yang baik, memudahkan segala gerak kerja beliau agar terus kuat meninggikan agenda Islam dan Ummat Islam di persada dunia.

Tiba-tiba saja, hati terus merasa rindu untuk bertemu beliau lagi. Semoga dikurniakan lagi oleh Allah S.W.T jua.

ZAKARIA ISMAIL, Marang – HARAKAHDAILY 21/5/2022

- Advertisement -