Merealisasi Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara

- Advertisement -

ISYARAT global kepada isu sekuriti makanan mutakhir ini menuntut satu perhatian kritikal untuk merangka tindakan yang lebih strategik dan kesiapsiagaan. Satu persatu negara dunia dalam kebelakangan ini tiba-tiba mengumumkan sekatan eksport sumber asas makanan keluaran mereka.

Topik ini sudah menjadi wacana panas sejak beberapa tahun sebelum kedatangan COVID-19. Namun, ia dilihat semakin ‘merebak’ diletuskan kesan pandemik yang melanda seluruh dunia dan Perang Rusia-Ukraine. Itu belum termasuk apabila dilihat faktor perubahan iklim dunia. 

- Advertisement -

Pakar-pakar dan badan dunia berkaitan makanan juga telah membunyikan loceng amaran itu. Keresahan terhadapnya mulai terasa membahang ditambah nilai matawang turut menyusut. 

Rakyat negara kita khususnya, apabila menyenaraikan keperluan isi dapur pasti menyedari kenaikan harga semakin tidak menentu. Malah kita berdepan bukan sahaja isu kekurangan bekalan, tapi pelbagai monopoli, kartel dan macam-macam lagi. 

Sudah kerap sangat isu ini dibahaskan, kini kita mesti terus kepada tindakan agresif tetapi terancang mengatasi segala kemungkinan, menuju kepada penyelesaian. Kebergantungan kepada import makanan mesti dikurangkan hingga mampu dihentikan.

Pertanian kekal ‘evergreen

Ibnu Khaldun seorang ulamak dalam kitab al-Muqaddimah karyanya yang menyentuh sejarah, sosiologi dan ketamadunan itu banyak juga membahas kepentingan sektor pertanian. Ia bukan sahaja bagi memenuhi keperluan bekalan makanan, tetapi ia sektor fitrah dan semulajadi, serta menjadi pelopor kepada sektor lain. Sejarah sektor ini bermula pun dari manusia pertama yakni Nabi Adam A.S.

Diakui oleh beliau betapa sektor ini digerakkan oleh mereka yang miskin, malah kebanyakannya diperas dan ditindas. Tetapi beliau menyatakan bahawa pemerintah jugalah yang harus berperanan menghidupkan tanah dari terbiar dan membantu membangunkan keupayaan termasuk bimbingan sehingga golongan ini mampu berzakat.

Beliau melihat sifat Arab Badwi yang sering hidup berlapar; menternak serta memakan hasil ternakan sendiri; berpindah randah dan berdagang. Jika diamati, persamaan itu ada pada sifat orang Kelantan yang dikatakan miskin; tetapi makan dari hasil usahanya; merantau bekerja atau mencari rezeki dan pandai dalam keusahawanan.

Ibnu Khaldun malah menyatakan bahawa sifat-sifat itu sebenarnya adalah kekuatan dan jika demikian orang Kelantan juga perlu merasa bangga kerana memiliki ciri seumpama itu.

Sumbangan Kelantan untuk Malaysia

Bila memilih sektor ini bukan bererti kita melangkah berundur ke belakang, tetapi menggerakkan jaminan kepada keperluan yang sangat asasi kepada seluruh rakyat. Ketika negeri-negeri lain ditumpukan dalam pengembangan pelbagai sektor, Kelantan wajar dan selayaknya menyumbang dalam menghasilkan makanan keperluan negara.

Kelantan boleh dan wajib direalisasikan sebagai Jelapang Makanan Negara bagi mendepani masa depan berkait isu sekuriti makanan. Negeri ini memiliki tanah subur yang luas, bahkan rakyatnya ramai sudah sedia bergiat di sektor ini. Sama ada cabang pertanian, penternakan dan perikanan hingga ke peringkat industri kecil dan sederhana pengusahasilan makanan.

Perbahasan Ibnu Khaldun yang telah berlalu lebih 800 tahun itu ternyata masih segar bugar membumi sehingga era milenia kini. Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Biotech, Nik Noor Hafizu Nik Ibrahim ketika menyuarakan pemikiran isu ini turut membutirkan pandangan senada.

Kelantan katanya, perlu merintis untuk mempunyai penghasilan makanan melalui usaha berkapasiti ladang sebagai pengeluar susu lembu dan kambing; pembekal daging tempatan menerusi integrasi dalam ladang sawit; pembekal daging dan telur unggas; serta pengusaha kolam ikan dan udang air masin juga air tawar; juga hasil pertanian lain melibatkan sayuran, buahan dan lain-lain.

Selari juga dengan huraian Ibnu Khaldun itu, Nik Noor Hafizu berpandangan bahawa kerajaan perlu membantu dan membimbing. Kerana semua hasil disebut tadi bukan lagi untuk diusahakan secara individu bagi sara diri dalam realiti keperluan bekalan sekarang dan akan datang. 

Gemblengan kerjasama tiga sumber menurut Nik Noor Hafizu, mesti dipusatkan pengurusannya di bawah satu entiti atau sekretariat yang dibentuk oleh pihak kerajaan. Ia mesti menyatukan: 

Pertama: Pemilik tanah terbiar yang sanggup membenarkan penggunaan tanah dan berkongsi hasilnya nanti;

Kedua: Pelabur yang sanggup membiayai dana permulaan projek sumber makanan; dan

Ketiga: Pengusaha dalam kalangan petani, penternak dan nelayan serta usahawan kecil sedia ada di mana mahu mengembangkan usaha, termasuk anak muda atau siswazah menganggur yang sedia menyertai – sedang mereka semua tiada tanah dan modal. 

Sinergi sekurang-kurangnya tiga pihak ini mampu menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara satu kenyataan kerana masih banyak tanah terbiar tidak diusaha atau dimajukan; ramai jutawan ada wang tanpa tahu untuk dimanfaatkan kerana tiada tanah dan kemahiran; serta banyak tenaga, ilmu dan pengalaman tidak digembleng. 

Bagi Nik Noor Hafizu, cita-cita ini boleh dimulakan dengan konsep penghasilan produk mengikut kesesuaian masa atau musim berdasarkan kelebihan di daerah masing-masing. Atau pengkhususan tertentu dalam memenuhi permintaan dalam negeri dan negara, sebelum diperluas meneroka pasaran luar. 

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan sendiri tentunya penting menghulur tangan dengan peruntukan khusus menerusi pembentangan Belanjawan setiap tahun. Buktikan kerajaan memandang serius isu kegawatan dan masa depan ini. 

Mulakan dengan Belanjawan 2023 Malaysia dan Kelantan nanti dengan peruntukan kepada sektor pertanian bagi menyokong gemblengan inisiatif dan kesepaduan di peringkat rakyat dan entiti lain. Seterusnya dukungan kerajaan menerusi persiapan infrastruktur, kepakaran dan teknologi yang seiring. 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -