PN hormati pendirian PAS pertahan MN

KUALA LUMPUR: Pimpinan utama Perikatan Nasional (PN) sentiasa menghormati usaha-usaha parti komponen untuk kekal bersama dengan gabungan itu.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen itu dinyatakan pada pertemuan pada hari raya dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Tetapi apa PAS nak buat, kita nak buat, ada usaha tertentu. Tak mengapalah. Akhirnya kita akan duduk semeja berbincang apa yang terbaik.

Advertisement

“Apa yang lebih penting untuk negara, itu yang saya fikir kita perlu berikan perhatian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MKN) di Putrajaya, hari ini.

Menurut laman berita Malaysia Now, Muhyiddin berkata, PN tidak akan menghalang PAS terus berusaha mempertahankan kerjasama dengan Umno dan Muafakat Nasional (MN).

Kata beliau, PN tidak mengambil sebarang tindakan kerana PAS sentiasa berpegang kepada prinsip penyatuan ummah.

“Bagaimanapun berdasar kenyataan Umno termasuk presidennya mengatakan sudah sampai masanya tak ada lagi MN,” katanya.

Sebelum ini pemimpin PAS menegaskan parti itu berusaha mempertahankan MN bagi memperkukuhkan kekuatan ummah, di samping memperkasakan hubungan PN.

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah minggu lepas pada kenyataan memberitahu kerjasama PAS, Umno dan Bersatu penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. – HARAKAHDAILY 17/5/2022