Pemimpin politik perlu jaga tutur kata

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

BANGI: Pemimpin parti politik diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur sentimen perpecahan dalam negara ini.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata kestabilan negara sering diganggu gugat akibat tindakan tanpa berfikir segelintir pemimpin politik di negara ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan melakukan pelbagai usaha bagi menyatukan ummah dalam kepelbagaian kaum serta agama di Malaysia.

“Kita lihat inisiatif yang dilakukan kerajaan antaranya melalui himpunan perpaduan ummah pada tahun 2019, ia berlaku sangat baik di negara kita.

“Apabila berlaku penyatuan ummah, Malaysia berjaya mengubah landskap politik di Malaysia,” katanya semasa berucap dalam Sidang Meja Bulat Bulat UMMAH: Perpaduan Nasional Keluarga Malaysia anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam program tersebut Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, Ahli akademik Pusat Tamadun Islam dan Sains Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Dato’ Mohd Nakhaie Ahmad.

Menurut Roslan, bagaimanapun agenda penyatuan ummah itu terbantut apabila wujud bantahan daripada beberapa pihak untuk meleraikan usaha murni tesebut.

“Ia merupakan cabaran kepada penggerak usaha untuk menyatukan ummah seperti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik.

“Ia meleraikan usaha penyatuan, ada satu pihak berusaha untuk mengukuhkan kerjasama, ada satu pihak lagi cuba untuk lupakan agenda itu dan bergerak bersendirian,” katanya yang mengulas mengenai kenyatan seorang pemimpin politik baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 15/5/2022

- Advertisement -