Israel cabul hak asasi manusia bunuh Shireen Abu Akleh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), menyifatkan pembunuhan wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh, oleh tentera Israel ketika memakai vest Akhbar sebagai suatu pencabulan yang jelas oleh pengganas Zionis.

Pengerusinya, Dato’ Mumtaz Md Nawi, berkata Biro Antarabangsa DMPM berpendirian menentang pencabulan hak asasi manusia secara terang-terangan oleh pengganas Israel.

- Advertisement -

Namun, katanya amat malang bagi negara-negara yang masih berkompromi dengan tindakan ganas Israel terhadap Palestin yang diduduki sejak beberapa beberapa dekad.

“Kebebasan bersuara seperti yang dinyatakan dalam Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia, yang sepatutnya dipastikan untuk Akhbar seperti Shireen Abu Akleh, dimusnahkan secara terang-terangan oleh Israel dengan menumpahkan darah yang tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mumtaz berkata, malah pasukan polis Israel bertindak kejam dengan mengganggu perarakan untuk pengebumian Shireen sehingga berlaku pertembungan dengan orang ramai.

Menurutnya, Shireen adalah simbol pengorbanan wanita dan kebebasan akhbar yang bebas daripada kepentingan politik.

Katanya, keikhlasannya memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin daripada penjajahan Israel, terutama wanita dan kanak-kanak, merentasi sempadan agama dan kaum dengan pembunuhannya membuktikan keganasan Israel yang tidak mengenal batas.

“Lajnah antarabangsa DMPM mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan dan rakan sekerja Shireen. Pemergiannya adalah suatu kehilangan yang besar. Kami juga ingin menegaskan bahawa keganasan dan kekejaman Zionis Israel boleh dihentikan dengan tindakan tegas setiap negara yang menentang Israel seperti yang dilakukan terhadap Rusia.

“Semoga pemergian seorang seperti Shireen akan melahirkan pejuang yang lebih berani untuk melawan kekejaman Zionisme Israel sehingga Palestin merdeka,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/22

- Advertisement -