Celik Air-Siri 1: Air tidak terhasil (NRW)

- Advertisement -

YANG rakyat nak tahu buka pili ada air. Air yang keluar tak keruh, tak masin dan tak berbau pelik-pelik. Jadi itulah definisi masalah air selesai, bagi kebanyakan rakyat jelata. 

- Advertisement -

Lagi satu, kebanyakan orang menanti disuap liputan mengenai masalah air itu hinggap di batang hidung sahaja. Bermakna kalau sesuatu masalah air di sesuatu tempat itu tidak tular, maka netizen akan anggap masalah air tak wujud. 

Sebenarnya masalah air boleh dijangka dengan melihat beberapa petunjuk penting. Saya nak bincang topik asas mengenai NRW dulu. Supaya netizen tak terkebil-kebil tak faham, apalah jargon NRW ni?!

NRW, sebenarnya ini adalah terma penting dalam bahasa pengurusan bekalan air. Selagi kita tak terlibat dengan industri pengurusan air maka, selagi itu kita kurang terdedah dengan jargon NRW ni. 

Namun begitu, untuk menjadi pengguna air yang bijak, kita wajib faham apa itu NRW. 

Non Revenue Water (NRW) dalam bahasa mudah bermaksud air tak terhasil. 

Kenapa tak terhasil?

Sebab air yang telah diproses oleh loji rawatan air (LRA), tapi akhirnya air tu tidak boleh di-bilkan untuk menjadi hasil kepada syarikat utiliti yang menyediakan perkhidmatan bekalan air bersih terawat tersebut. 

Bayangkanlah, bukan murah dan mudah nak rawat air sampai boleh jadi bersih untuk diminum. Ada kos tertentu yang sentiasa meningkat. Tiba-tiba air yang telah diproses tidak boleh dikutip hasil atas beberapa faktor tertentu. 

Kenapa air tidak dapat dibilkan?

1. Sengaja tak dibilkan secara sah dan legal.

Apabila sengaja tak dibilkan bermakna syarikat bekalan air memberi air percuma atas tujuan tertentu yang strategik. Bila beri percuma, maka tiadalah hasilnya. 

Contoh mudah bagi kategori ini adalah untuk kegunaan bomba bila berlaku kebakaran. Biasanya faktor ni bukan punca utama peratusan NRW tinggi. 

2. Kehilangan.

Bila air hilang, sudah tentu tak dapat dibilkan dan tiadalah hasil dapat dikutip. Bentuk kehilangan air ini adalah melibatkan dua kategori iaitu, pertama Kehilangan Ketara yang juga dikenali sebagai Kehilangan Komersial dan kedua Kehilangan Fizikal. 

A. Kehilangan Komersial

Kehilangan Komersial air berpunca daripada dua faktor utama iaitu kecurian air melalui penyambungan haram dan kegagalan meter air berfungsi dengan tepat . 

Bila meter air rosak seperti tak bergerak disebabkan ada pasir tersangkut. Maka air yang lalu itu bagaikan air percuma untuk pengguna. 

B. Kehilangan Fizikal

Kehilangan Fizikal adalah penyumbang terbesar terhadap NRW di Malaysia. Ini adalah hakikat. Kehilangan ini disebabkan oleh kebocoran pada fizikal sistem infrastruktur bekalan air. 

Meliputi kebocoran paip lama atau baru, kebocoran di tangki penyimpanan air dan sebarang kebocoran air dalam sistem jaringan bekalan air sebelum melepasi masuk ke meter pengguna. 

Jadi begitulah asas-asas penting untuk faham apa itu Non Revenue Water (NRW) atau Air Tak Terhasil dan kenapa ia dinamakan Air Tak Terhasil. 

Persoalan yang timbul, kenapa kita nak peduli NRW, sedangkan yang tak terhasil itu syarikat bekalan air bukan kita? 

Sebagai pengguna kita kena faham kesan sampingan kalau NRW terus tinggi sehingga membuatkan syarikat bekalan rugi dan akhirnya kualiti perkhidmatan mereka merosot. 

Kemerosotan syarikat bekalan air ini akhirnya akan menyusahkan kita sebagai pengguna air juga. 

Bagi sebahagian negeri telah serik benar dengan masalah gangguan air. Ada negeri gangguan air kerana LRA terpaksa henti operasi disebabkan pencemaran daripada industri yang masuk ke sungai, tempat pengambilan air.

Ada negeri sebab kehilangan air terlalu tinggi sehingga menyebabkan tekanan air rendah. Apakan daya, kemampuan nak tukar paip lama beribu-ribu kilometer ni perlukan daripada Kerajaan Persekutuan. 

Jika ada diskriminasi politik, maka akibatnya berpanjangan dan tak mungkin boleh selesaikan dalam masa 4 atau 5 tahun pun. 

Cuma, yang pasti salah satu faktor yang menyumbang kepada gangguan air adalah NRW. Saya akan ulas dalam tulisan akan datang untuk faktor-faktor lain. 

Tapi sebagai pengguna bijak, cukup untuk kita faham bahawa kita perlukan satu badan bekalan air yang cekap. Badan bekalan atau syarikat ini perlukan pulangan dana melalui peningkatan hasil (revenue), justeru dengan mengurangkan peratusan NRW. 

Jika NRW terus bertambah, untuk masa depan tarif air boleh meningkatkan secara tak masuk akal dan kadar gangguan air juga akan bertambah. 

Yang susah tetap pengguna juga akhirnya. Semoga penjelasan Siri 1 Celik Air ini dapat beri sedikit pencerahan berkenaan asas dalam isu air. 

Kita lihat topik air agak hangat dibincangkan sehari dua ini. Namun, tulisan Siri 1 belum memadai untuk kita faham isu air secara menyeluruh. Nantikan siri seterusnya. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
10 Mei 2022 – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -