Najib: Buat baik berpada-pada, buat jahat berapa kali?

MEMBACA penghakiman kes Najib, sesuai kiranya digelar ‘genre‘ seram bagi peminatnya. Sayang mereka kepada Bossku, seakan tiada makna aku tanpa kamu. Dijulang kejayaan Najib. Kebaikan dan kecerdikan. 

Advertisement

Antara alasan penghakiman mengapa Najib bersalah, kerana dia tidak mengundur diri dari Mesyuarat Kabinet yang meluluskan pinjaman kepada syarikat yang dia mempunyai kepentingan. 

Terfikir sendirian, bukankah ini benda asas? Apakah Najib sebegini tiada kelas? Hakim berkata lagi, antara bukti wujudnya kepentingan, kerana akhirnya sebahagian wang itu berakhir di dalam akaun peribadi Najib.

Terfikir sendirian, apa dia tidak ada memelihara mana-mana kambing berwarna hitam? Atau dia tidak menyangka hari yang siang akhirnya malam?

Buat yang keliru, siang itu cahaya, malam itu kegelapan. Bidalan kehidupan, yang dulu di atas mungkin berubah keadaan.

Begitulah Najib. Mungkin berjaya dalam rayuan. Mungkin juga hukuman itu dikekalkan. Bila dibaca alasan penghakiman, seakan gelap di hujung jalan.

Hakim berkata lagi, tahap pengaruh Najib di dalam SRC mungkin sahaja tidak pernah wujud pengaruh sebegitu besar dalam mana-mana syarikat lain di bawah Kementerian Kewangan. 

Menjadikan Najib ‘tercemar’ dengan konflik kepentingan yang nyata. Kata hakim, “…the accused would have been tainted given the obvious conflict”

Hakim guna perkataan ‘tainted’, saya memilih untuk terjemah dengan ‘tercemar’. 

Seorang pemimpin yang ‘tercemar’.

“Tetapi… tetapi… Najib itu baik. Menghapus hutang Kelantan RM56 juta ringgit”. 

“Kelantan patut buat ‘deferred payment’ dalam isu air. Jangan hanya harapkan Pusat”.

Begitulah juak Najib. Masih menyucikan Najib.

Sudah-sudahlah. Cuba basuh dahulu kotoran pada Najib yang tercemar itu. 

Jangan terlalu asyik nak mengajar Kelantan. 

Jika Mahkamah Persekutuan putuskan Najib tidak bersalah, bolehlah kita sambung kembali sesi mengajar Kelantan. 

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 11/5/2022