362 tahanan lari dari depot Imigresen ditangkap semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 362 orang tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang telah berjaya ditangkap semula.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, seramai 528 tahanan Rohingya telah melarikan diri dari depot itu pada jam 4.30 pagi tadi.

- Advertisement -

“Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan grill penghadang,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard SOP dengan menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.

Tambahnya, gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama daripada PDRM, RELA dan orang ramai.

“Sehingga jam 10.00 pagi ini seramai 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula. Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lari itu dipohon supaya memaklumkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia atau PDRM. – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -