Pelaburan masa dan usia

- Advertisement -

UMUR kita adalah masa kita. Berlalu sebahagian masa kita, maka berlalulah sebahagian umur kita. Jika masa yang berlalu itu beroleh pahala, maka bertuahlah kita. Alhamdulillah.

Sebahagian kita apabila datangnya bulan Ramadan, ada yang melihat sebagai satu peluang menjana keuntungan perniagaan secara berganda. Persiapan rapi dibuat untuk merebut peluang berniaga secara fizikal dan atas talian. Tanpa meninggalkan azam untuk turut menghidupkan malam-malam Ramadan dan peluang kebajikan. Niat yang baik.

- Advertisement -

Namun, tidak ramai yang dapat mencapai keduanya. Ada yang terus lalai dengan sambutan jualan, ada yang tidak seimbang antara tujuan keuntungan dunia dan akhirat, dan ada yang akhirnya keletihan.

Kita kini di pertengahan Ramadan, belum terlambat untuk sama-sama kembali kepada tujuan asal Allah S.W.T menghadirkan bulan Ramadan kepada kita. Selarikan tugasan, perniagaan dan tanggungjawab kita dengan ketaatan agar digandakan pahalanya di sisi Allah. 

Peluang dan ganjaran

Tetamu mulia yang bertandang, rasa seperti baru sahaja semalam, kini telah separuh persinggahannya sebelum pulang meninggalkan kita. Apakah kita betul-betul mengambil peluang berdamping dengan tetamu ini dan memberikan layanan sebaiknya?

Hadirnya secara jelas ingin memberikan kelebihan dan ganjaran kepada kita. Dibukanya pintu-pintu dan peluang yang tiada seumpamanya buat kita semua. Rebutlah peluang yang berbaki. Tiada jaminan kita akan dapat bertemu kembali dengan Ramadan yang bakal menjelang pergi.

Jauhi kecelakaan 

Setiap hari di dalam bulan Ramadan ini, Allah S.W.T membebaskan hamba-hambaNya daripada neraka jahanam. Nabi Adam A.S dikeluarkan daripada syurga Allah kerana melakukan satu kesalahan, melanggar perintah Allah S.W.T, memakan daripada pokok larangan. Layakkah kita ke syurga dengan begitu banyak dosa dan maksiat kepadaNya? Tanpa rahmat Allah, kita tidak akan mampu menggapai syurgaNya.

Soalnya, adakah kita termasuk di kalangan mereka yang akan dirahmati oleh Allah? Adakah ciri-ciri golongan yang dirahmati Allah itu ada pada kita? Maka ambillah peluang dengan membanyakkan doa pada bulan Ramadan ini, kerana Allah S.W.T akan mengabulkan permintaan doa hambaNya setiap hari pada bulan ini.

Janganlah kita tergolong di antara mereka yang malaikat Jibril doakan kecelakaan, iaitu apabila berlalunya bulan Ramadan, namun tidak diampunkan dosanya.

Banyakkan bersedekah

Kegembiraan berada di bulan Ramadan ini seharusnya menjadikan kita banyak bersedekah dan membantu orang sekeliling kita yang berada dalam kesusahan. Baginda Rasulullah S.A.W sendiri disifatkan oleh Ibnu Abbas sebagai seorang yang paling pemurah memberi kebaikan berbanding angin yang berhembus apabila berada dalam bulan Ramadan.

Rasulullah S.A.W dalam sebuah Hadis menganjurkan isteri Baginda untuk memberi sedekah walaupun dengan separuh buah kurma. Usahakan memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, pahala puasa yang berganda kepada orang yang bersedekah.

Jenguklah ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga di sekeliling kita, apakah bantuan yang kita boleh berikan kepada mereka. Umar Bin Al-Khattab pernah bertanyakan Nabi mengenai sebaik-baik amalan, maka Nabi menjawab dengan jawapan yang ringkas dan padat yang bermaksud: “Memasukkan kegembiraan kepada saudara kamu, kamu mengenyangkan perutnya, memakaikan pakaian yang menutup auratnya, atau menunaikan hajatnya.”

Dua kegembiraan 

Nabi S.A.W pernah menyebutkan dua kegembiraan bagi orang yang yang berpuasa iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya. Gembira ketika berbuka puasa itu dialami dan dirasai oleh segenap orang yang berpuasa hatta kanak-kanak sekalipun kerana keperluan fizikalnya iaitu makan dan minum dipenuhi.

Namun kegembiraan ketika bertemu dengan Allah itu hanya dapat dirasai dan dikecapi oleh orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan, yang mengharapkan redha Allah kerana keperluan rohnya iaitu kecintaan dan kerinduan kepada sang Pencipta bakal dipenuhi. Moga kita termasuk dalam kalangan orang yang gembira untuk bertemu dengan Allah di akhirat kelak.

Salam Nuzul Quran.

MOHD AMAR ABDULLAH | 18 Ramadan 1443
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -