HARI ini terdapat usaha dari parti-parti politik yang menurut mereka untuk memecahkan tembok pemisah di antara kaum. Banyak program-program telah dianjurkan untuk mempelajari budaya dan adat kaum-kaum. Mereka juga melantik pemimpin-pemimpin dari kaum-kaum yang minoriti di parti mereka untuk memegang pelbagai jawatan.
Terdapat 2 persepsi yang dibentuk oleh orang awam terhadap tindakan-tindakan tersebut. Pertama tindakan ini dilihat sebagai sekadar publisiti untuk menunjukkan parti-parti itu adalah inklusif. Kedua untuk membina hubungan dengan kaum-kaum sasaran mereka dengan harapan untuk mendapatkan undi-undi pilihan raya dari kaum-kaum tersebut.
Sama ada kedua-dua persepsi ini merupakan hasrat yang sebenar parti-parti tersebut boleh dibincangkan dengan panjang lebar. Walau bagaimanapun usaha-usaha ini tidak dapat dinafikan berupaya meningkatkan kefahaman mengenai adat dan budaya di samping membina hubungan walaupun pada skala yang kecil dan kadang-kala bermusim. Tetapi bukankah perkara-perkara yang cuba diusahakan ini telah wujud di dalam masyarakat?
Pada hakikatnya integrasi kaum telah lama wujud walaupun mungkin tidak berlaku di semua tempat dan peringkat. Tetapi yang jelas ia tidak berlaku sepenuhnya di dalam parti-parti politik kerana struktur politik di negara ini masih menurut acuan ‘pecah dan perintah’ peninggalan penjajah. Kita tidak boleh menyalahkan pemimpin politik kerana amalan-amalan yang telah lama berakar umbi akan mengambil masa untuk diubah.
Secara amnya adat dan budaya kaum-kaum juga difahami dan dihormati di mana anggota masyarakat memang cuba menjaga sensitiviti tetapi kadang-kala orang awam dilihat lebih memahaminya dari pemimpin politik yang sering mencetuskan kontroversi kerana cuba menjadi juara dan mendambakan publisiti.
Integrasi kaum dan peningkatan kefahaman ini tidak sepatutnya bermatlamat semata-mata untuk meraih sokongan dan mendapatkan undi ketika pilihan raya. Jika undi pilihan raya menjadi matlamat dan tujuan maka usaha-usaha ini dapat dikesan oleh rakyat dan akan kelihatan palsu sepalsu bunga plastik.
Sebenarnya kefahaman di kalangan ahli-ahli politik yang perlu dipertingkatkan bukan di kalangan orang awam yang tidak berkepentingan. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana latar belakang mereka yang menjadi penentu. Mungkin terdapat mereka yang dibesarkan atau hidup di kalangan satu kaum sahaja dengan pendedahan kepada kaum-kaum lain yang terhad. Justeru mereka membentuk persepsi yang tidak tepat terhadap kaum-kaum tersebut. Tidak hairan masalah akan timbul apabila mereka diberi tanggungjawab untuk memimpin masyarakat pelbagai kaum.
Sudah tentu mereka akan mengalami kejutan dan saya memahami akan kejutan yang dirasakan kerana saya pernah merasai situasi asing seperti yang mereka rasai. Walau bagaimanapun bukan kerana terpaksa hidup di kalangan masyarakat berbilang kaum tetapi terpaksa hidup di kalangan kelompok satu kaum sahaja. Apabila saya memasuki sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, buat pertama kali saya perlu hidup di kalangan orang-orang Melayu sahaja.
Sebelum itu saya dibesarkan dan bersekolah di dalam masyarakat berbilang kaum di Petaling Jaya di mana kawan-kawan dan jiran-jiran adalah dari pelbagai kaum dan agama. Tetapi tiba-tiba tidak terdapat kaum-kaum lain di keliling saya kecuali guru-guru dan terdapat kawan-kawan yang bertutur dalam bahasa Melayu yang ganjil dan yang payah untuk saya fahami. Suasana seratus peratus Melayu dengan kerenah-kerenahnya tersendiri di samping ketiadaan pelajar-pelajar perempuan yang boleh menyuntik keceriaan seperti di Petaling Jaya dahulu sudah tentu merupakan satu pengalaman yang amat mencabar. Sama mencabar seperti mereka yang selama ini berada di dalam kepompong masyarakat Melayu dan tiba-tiba dicampakkan ke masyarakat berbilang kaum.
Hari ini di dalam politik saya sering membuat kesilapan dengan mengharapkan situasi yang serupa sepertimana ketika bersekolah rendah di Petaling Jaya atau mungkin juga ketika bekerja sebelum menyertai kerajaan. Ketika itu kami belajar bersama, bermain bersama, makan bersama dan bekerja bersama tanpa mengira bangsa. Tetapi ia berbeza di dalam politik, kami berada pada sudut-sudut yang berbeza dan hanya bertemu apabila terdapat keperluan atau kepentingan bersama. Saya pernah bertanya kepada kawan-kawan di dalam politik adakah mereka memiĺiki kawan-kawan dari kaum yang lain, selain dari di atas dasar kerjasama atau gerak kerja politik? Kawan-kawan yang mereka boleh duduk berjam-jam menikmati teh tarik bersama di kedai Mamak tanpa ada sebarang agenda. Jawabnya tidak.
Mengenali dan memahami budaya kaum-kaum lain adalah penting tetapi bagaimana ia perlu dilakukan? Terdapat banyak usaha oleh parti-parti politik ke arah tersebut tetapi sebenarnya ia telah berlaku di dalam masyarakat kita sejak zaman berzaman. Walau bagaimanapun bukan melalui kursus-kursus atau program-program berstruktur tetapi secara semulajadi melalui pergaulan seharian yang jauh lebih berkesan. Hubungan seharian di antara kawan-kawan dan jiran-jiran membawa kesan yang lebih mendalam kerana tidak terdapat sebarang agenda politik yang terselindung.
Saya mempunyai hubungan yang baik dengan jiran-jiran bukan-Melayu saya bukan kerana mahu mereka mengundi PAS tetapi kerana saya mungkin memerlukan bantuan jiran-jiran itu di masa akan datang. Jika saya hendak balik ke kampung, mereka boleh tengok-tengokkan rumah saya. Sekarang ini jika jiran saya tidak berada di rumah, ada yang akan meminta saya menyimpankan barang-barang yang dihantar ke rumah.
Jadi berbalik kepada soalan, “Integrasi kaum perlu bermula di mana?” Pada pandangan saya di dalam politik. Pemimpin-pemimpin politik dengan hasrat untuk menjadi juara kadang-kala bertanggungjawab mewujudkan pertembungan di dalam masyarakat. Kadang-kala sesuatu isu itu tidak panas tetapi apabila pemimpin-pemimpin politik mencampurinya, isu tersebut akan menjadi besar dan merebak. Walhal tanpa campur tangan pemimpin politik, isu tersebut mungkin akan mati dan dilupakan. Selagi pemimpin politik masih dengan sikap tersebut, keadaan tidak akan berubah. Kita perlu akui bukan semua pemimpin politik boleh menjadi pemimpin yang inklusif dan mewakili semua kaum tetapi elakkan sebarang kontroversi atau provokasi. Biarkan masyarakat hidup dengan aman.
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 20/4/2022