Umat Islam perlu bersatu mendaulatkan Islam

Gambar Facebook Menteri Besar Kelantan
- Advertisement -

BANGI: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob, berkata percaturan politik yang berlaku di negara ini memerlukan umat Islam mempunyai kesatuan, kerjasama dan perpaduan yang tinggi.

Menurutnya, parti, persatuan dan pertubuhan Islam perlu bersatu demi mendaulatkan Islam atau meletakkan Islam pada tempat yang sepatutnya.

- Advertisement -

Kegagalan mewujudkan kesatuan di kalangan parti Islam atau parti orang Melayu yang beragama Islam serta bertelagah dan tidak dapat mencari satu titik pertemuan menyebabkan umat Islam hanya bermimpi untuk meletakkan Islam pada tempat yang sebenarnya.

“Pada bulan Ramadan yang mulia tahun ini, amat tepat sekali kerajaan negeri melalui Urusetia Penerangan memilih ayat 90-94 Surah Taha supaya kita dapat memahami hasrat sebenar cerita zaman Nabi Musa dan Harun, apa yang berlaku kepada bani Israel kerana al-Quran itu hidayah dan pembimbing kita dalam semua keadaan.

“Ayat itu secara mudah menyuruh kita menjadikan keamanan sebagai suatu yang sangat perlu bagi meletakkan Islam pada tempat sebaiknya,” katanya di Majlis Ihya Ramadan Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan (Zon Lembah Klang) di sini, semalam.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri dari Kelantan serta Presiden Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan Malaysia), Datuk Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin.

Menteri Besar berkata, selain lima maqasid al-syariah, ulama menyatakan ada satu lagi maqasid, iaitu suasana yang aman kerana keamanan memberi peluang kepada banyak kebaikan, khususnya untuk melaksanakan agama Islam yang suci.

Katanya, keadaan tidak aman mungkin berlaku kerana peperangan dan penyakit seperti yang dilalui sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun.

“Kita telah melalui suatu keadaan yang tidak aman yang menjejaskan pergerakan kita. Dari segi dakwah kita terhalang, dari segi keilmuan kita terhalang dan dari segi ekonomi kita terhalang. Maka ulama menyatakan bahawa aman adalah perkara yang sangat mustahak, selain menjaga nyawa, akal, harta benda, keturunan dan nama baik keluarga,” katanya.

Antara anak Kelantan yang menghadiri Majlis Ihya Ramadan bersama pimpinan kerajaan negeri Kelantan

Menurutnya, pemilihan Surah Taha benar-benar menepati suasana semasa kerana suasana yang benar-benar aman membolehkan kuasa yang diberi oleh rakyat dapat dilaksanakan dengan semaksimum yang boleh.

Jika keadaan tidak aman, katanya maka politiking lebih besar berlaku dalam masyarakat menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

Katanya, peranan PAS ialah menjadikan perjuangan mencapai kesatuan sebagai agenda dan sama ada golongan berkenaan hendak atau tidak hendak, itu adalah soal kedua.

“Agenda kita bagi PAS ialah menyeru mewujudkan suasana yang aman, perpaduan, kerana kita tahu selama 22 bulan sahaja (kerajaan di bawah Pakatan Harapan), apabila kita bertelagah sesama kita, orang lain yang dapat kuasa,” katanya.

“Apabila orang lain mendapat kuasa, kepentingan umat Islam terjejas. Contohnya Tabung Haji (TH). Tuan-tuan semua tahu. Tak payah saya cerita bagaimana TH milik 100 peratus orang Islam, tetapi setelah bertukar kerajaan dan dalam masa 22 bulan, semua orang tahu amat perit,” katanya.

Menteri Besar Kelantan bersama anak Kelantan kaum India yang tinggal di Lembah Klang

Sementara itu, beliau memuji rakyat Kelantan yang banyak berbakti kepada negara dalam pelbagai bidang, terutama menjadi duta kepada negeri untuk menyebarkan agama Islam dalam bidang pendidikan.

“Ramai juga rakyat Kelantan menceburi sektor korporat. Mereka membantu negara dari segi ekonomi, industri serta usahawan. Ambo ucap terima kasih dan penghargaan setinggi-tingginya, pertama kepada Perakan Malaysia, kedua kepada seluruh rakyat Kelantan yang berkhidmat di luar Kelantan yang menaikkan nama Kelantan.

“Kedua ialah anak Kelantan berada di luar negeri, amat penting kerana membantu keluarga di Kelantan, di mana kuasa beli agak tinggi, tumbuh pasar raya dan juga pelbagai perusahaan,” katanya.

Beliau berkata, ramai anak Kelantan di negeri lain mengirim balik duit ke Kelantan menyebabkan kuasa beli agak tinggi dan anak Kelantan sentiasa menyebarkan ilmu Islam di seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri sangat berbesar hati dan terhutang budi kepada seluruh rakyat Kelantan yang telah mengharumkan nama negeri di negara ini. – HARAKAHDAILY 18/4/22

- Advertisement -