Kelantan sudah lama tunggu jalan raya yang ‘sempurna’

Jajaran dan pembinaan baharu serta penyelenggaraan menjadi keperluan yang mendesak

- Advertisement -

BAGI anak rantau Kelantan, lautan api pun mereka redah untuk balik berhari raya. Itu perumpamaan mudah yang boleh dilontar secara sekilas. 

- Advertisement -

Kesesakan berjam-jam sekian lama dihadapi. Jalan tak sempurna ditempuh saban tahun. Perjalanan dirancang sebaik mungkin melihat segala aspek. Setelah itu akhirnya, ketibaan di kampung halaman akan mengubatkan segala kesulitan yang dialami.

Perjalanan ke Kelantan berkereta bagaikan satu perjuangan di musim perayaan. Bila orang Kelantan nak balik raya pasti akan melalui salah satu daripada tiga laluan masuk utama ini iaitu, Jalan Persekutuan 4 (Federal Route 4), Jalan Persekutuan 3 (Federal Route 3), dan Jalan Persekutuan 8 (Federal Route 8).

Perlu pembangunan berterusan Jalan Persekutuan

Jalan Persekutuan 4 adalah laluan penghubung utama Kelantan dengan negeri-negeri Utara Pantai Barat. Lebuhraya Timur-Barat yang dibina dengan pengorbanan pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) dari ancaman Komunis adalah sebahagian daripada Jalan Persekutuan 4, iaitu merupakan jalan penting bagi merentasi Banjaran Titiwangsa. 

Sejak fasa 2 Lebuhraya Timur-Barat siap pada tahun 2005 yang menyambungkan Gerik ke Lebuhraya Butterworth Kulim, perjalanan ke Kelantan daripada Pulau Pinang sangat lancar serta dekat berbanding sebelumnya. Orang Kelantan yang tinggal di negeri-negeri Utara Pantai Barat Kedah, Perak, Pulau Pinang serta Perlis dapat menarik nafas lega di musim nak balik beraya.

Selain itu, telah ada desakan supaya Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dipercepatkan. LPT3 adalah penyambung penting kepada Jalan Persekutuan 3 untuk masuk ke Kelantan melalui Terengganu. 

LPT3 adalah sambungan daripada LPT2 yang terhenti sehingga Kampung Gemuroh, Kuala Nerus, Terengganu. Ini bermakna jajaran LPT setakat yang ada kini lebih memberi kelegaan untuk orang Terengganu bila nak balik beraya. Orang Kelantan pula masih tetap harus sabar menanti. 

Jalan Persekutuan 8 pula adalah laluan masuk ke Kelantan paling popular bagi anak jati Serambi Makkah itu yang tinggal di Lembah Klang bila nak balik berhari raya. Laluan yang merentasi Pahang ini popular kerana kesesakan yang melampau gara-gara orang Kelantan nak balik berhari raya.

Jalan Persekutuan 8 kini secara berperingkat sedang dikurangkan beban kesesakan ketika hari raya dengan pembinaan Lebuhraya Utama Tengah yang lebih dikenali sebagai Central Spine Road – CSR (Jalan Tulang Belakang Tengah Semenanjung Malaysia). 

CSR dinamakan sebagai Jalan Persekutuan 34 (Federal Route 34) yang akan menghubungkan bandar Kuala Krai, Kelantan dengan bandar Kuala Pilah di Negeri Sembilan sejauh 325 kilometer. Berbeza dengan Jalan Persekutuan 8 dan 9, CSR merupakan jalan 2 lorong seperti lebuh raya tapi tiada tol dikenakan.

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kanan Kementerian Kerja Raya, pembinaan CSR ini akan siap pada 2026 sehingga fasa 5 di Bentong yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Lebuhraya Karak untuk terus ke Lembah Klang. 

Ini bermakna empat kali raya lagi perlu orang Kelantan hadap sebelum dapat melaluinya. Itupun jika tiada sebarang kelewatan berlaku atau apa perkara yang boleh menjadi penghalang seperti ketidaktentuan politik dan ekonomi. 

Bidang kuasa dan mandat

Secara umumnya semua pihak maklum, pembangunan jalan raya dan infrastruktur bagi ketiga-tiga laluan utama ini adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Tertakluk pada bidang kuasa Kementerian Kerjaraya, Kementerian Kewangan, Kementerian yang menjaga hal ehwal ekonomi dan lain-lain. 

Usaha Kerajaan Persekutuan mempertingkatkan pembangunan jalan raya dan infrastruktur pada tiga laluan utama ini akan meliputi kemampuan menampung pertambahan kenderaan, memperbaiki jajaran untuk kebersambungan yang lebih baik dan mengalihkan aliran trafik bagi mengelakkan ‘bottleneck’ terutamanya di bandar-bandar utama Bentong, Raub, Gua Musang dan lain-lain. 

Walau bagaimanapun, usaha bagi memastikan tiga laluan utama sentiasa dalam keadaan baik adalah melibatkan gerak kerja penyelenggaraan secara berkala dan berterusan. 

Maka dalam hal ini harus difahami bahawa tanggungjawab menyelenggara jalan-jalan Persekutuan ini juga adalah termasuk dalam senarai Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 11(a), Jadual 9, Senarai Legislatif, Perlembagaan Malaysia 1957 yang menjelaskan soal bidang kuasa jalan-jalan Persekutuan. 

Situasi yang tak selesai

Pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, orang-orang Kelantan di perantauan perlu menempuh situasi kesesakkan yang melibatkan tiga laluan utama Persekutuan ke Kelantan. Usaha penambaikkan tiga laluan utama seperti yang telah dijelaskan, sedang dan sentiasa berjalan.

Namun, keadaan jalan-jalan Persekutuan sedia ada menuju Kelantan seperti dimaklumi masih di banyak lokasi tertentu amat tidak memuaskan. Lopak, lubang atau jalan beralun dan tak rata bagaikan melambai-melambai menanti mangsa. 

Mungkin juga masih ada lokasi yang telah hilang garisan tengah, pelekat pencahayaan telah tercabut atau papan tanda amaran hancur kerana rempuhan kemalangan masih belum berganti. 

Situasi-situasi ini menyebabkan keselesaan terganggu, bahkan keselamatan terhadap pengguna jalan juga terjejas. Sebahagian pengguna-pengguna yang menggunakan jalan sukar dapat menahan sabar, terutama sekali apabila berlaku insiden yang tidak diingini. 

Kritikan impak positif

Dalam dunia media terbuka pada hari ini, kritikan langsung akan dibuat media sosial boleh menghasilkan gelombang dan fenomena tertentu. Ledakan emosi manifestasi daripada sesuatu pengalaman perit akan mengatasi rasional.

Walau bagaimanapun, dengan memahami soal bidang kuasa, sekurang-kurangnya tidaklah berlaku kritikan yang tidak tepat sasarannya. 

Kritikan yang tidak tepat sasaran adalah kritikan pada pihak yang tidak mampu berbuat apa-apa kerana bukan dalam bidang kuasa diberi mandat.

Mereka mungkin hanya boleh bantu mendengar dan turut perlu bersabar meskipun tidak boleh berbuat apa-apa walaupun sedang dipersalahkan.

Acapkali kita boleh memerhati kritikan yang bersifat pukul borong tidak rasional. Adakalanya kritikan prejudis yang tak masuk akal kerana kenaifan dalam memahami sesuatu punca atau penghalang dengan baik. 

Kita semua seboleh mungkin mahukan yang terbaik. Ketika mana kita mahu, perubahan itu juga perlu bermula daripada sikap adil dan bertanggungjawab daripada kita semua. Kita mahu keadilan, tetapi kita sendiri pun lakukan sesuatu yang tidak adil kepada pihak lain kerana sikap melulu kita.

Kesimpulannya, anak-anak rantau Kelantan yang menggunakan tiga laluan Persekutuan untuk balik berhari raya perlu memainkan peranan aktif secara bertanggungjawab untuk memberi kritikan membina secara matang. 

Kritikan secara berhemah dan pada sasaran bidang kuasa yang betul pasti akan memberi impak yang terbaik. Kritikan sebegini sudah pasti akan menjadi peringatan bagi mana-mana pihak yang lalai atau leka daripada tanggungjawab dan mandat telah diberikan. 

Semoga kelak dengan perubahan yang dibuat daripada kritikan membina diberikan akan membawa kebaikan untuk semua pihak.

ZIKRULLAH ISMAIL
Penulis Tamu
Darul Naim Research Centre
18 April 2022 – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -