Perbicaraan kes 1MDB mesti disegerakan – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini susulan Mahkamah di Amerika Syarikat hari ini telah menjatuhi hukuman bersalah ke atas bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB.

- Advertisement -

Menurut Muhyiddin, Peguam Daerah Timur New York, Amerika Syarikat, Breon Peace dalam kenyataannya hari ini menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai suatu kejayaan kepada rakyat Malaysia.

Tambahnya, perbicaraan kes Roger Ng telah mendedahkan bukti-bukti mengenai penyelewangan 1MDB yang melibatkan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia pada ketika itu.

Katanya, bagaimana tidak amanahnya mereka menyeleweng berbilion ringgit wang 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelaburan strategik dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi negara.

“Wang ini sebaliknya digunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan kroni,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, malam ini.

Menurutnya lagi, beliau telah menentang perbuatan jenayah mereka sejak dari awal dan akan terus berjuang menghalang kumpulan kleptokrat itu daripada kembali berkuasa.

“Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding.

“Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/4/2022

- Advertisement -