Najib arah pinda laporan audit 1MDB – Madinah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa tidak pernah ada dua versi laporan audit 1MDB, tetapi hanya draf dan salinan akhir.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat hujahan itu semasa pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-12, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

- Advertisement -

Madinah, 66, yang memegang jawatan itu bermula 20 Februari 2017 hingga 22 Februari 2019, disoal oleh peguam itu sama ada terdapat dua versi laporan audit 1MDB, yang beliau menjawab ya, iaitu versi asal dan dipinda.

Muhammad Shafee: Terdapat dua laporan akhir (audit), tetapi ada laporan lain iaitu draf, yang mana satu yang diserahkan kepada anda (oleh Timbalan Pengarah Jabatan Audit Negara Datuk Nor Salwani Muhammad).

Madinah: Yang diberikan kepada saya bukan draf tetapi ia adalah laporan yang sepatutnya dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dua hari kemudian.

Sebelum ini, Madinah memberi keterangan bahawa beliau juga diberitahu oleh Nor Salwani bahawa Laporan Audit 1MDB telah dicetak dua kali iaitu pada awal 2016 dan pada 2 Mac tahun yang sama.

“Laporan yang dicetak pada awal 2016 adalah laporan akhir yang akan dibentang kepada PAC pada 24 Februari 2016. Bagaimanapun, kandungan laporan ini telah ditukar dengan menggugurkan beberapa perenggan di dalamnya melalui mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 24 Februari 2016,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata saksi itu mungkin tersalah anggap apabila beliau menyangkakan laporan awal yang dicetak pada awal 2016 adalah versi pertama.

Muhammad Shafee: Saya mencadangkan kepada anda, apabila pembetulan dibuat pada salinan bercetak bertanda watermark, dan kemudian versi yang diperbetulkan dicetak semula untuk diserahkan…yang lebih awal dianggap sebagai draf.

Madinah: Ia boleh jadi begitu.

Terkejut dengan arahan pinda

Dr Madinah sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa beliau ‘terkejut’ apabila mengetahui Tan Sri Ambrin Buang dan pegawai Jabatan Audit Negara Datuk Nor Salwani Muhammad diperintahkan supaya meminda dan memusnahkan salinan asal Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Madinah, 66, berkata Nor Salwani (yang kini Timbalan Ketua Audit Negara) memaklumkan perkara itu kepadanya sebelum beliau masuk ke bilik mesyuarat untuk diberi taklimat mengenai salinan pindaan itu.

“Saya terkejut apabila Ambrin (Ketua Audit Negara sebelum beliau) diarah meminda salinan asal dan Nor Salwani diarah supaya memusnahkan salinan yang akan dibentangkan kepada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 2016). Bagaimanapun, dia (Nor Salwani) tidak memusnahkan versi asal laporan itu. Dia menyimpan versi asal di bawah kerusinya,” kata beliau.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang didakwa mengganggu laporan akhir audit 1MDB.

Muhammad Shafee: Tan Sri, anda kata terkejut, tetapi tidak melakukan apa-apa mengenai perkara itu sehingga ada kerajaan baharu (Pakatan Harapan)? Madinah menjawab ‘betul’.

Semasa ditanya siapa yang bertanggungjawab di sebalik pindaan itu, Madinah berkata beliau tidak bertanya kepada Nor Salwani mengenai perkara tersebut kerana tergesa-gesa ke mesyuarat.

Saksi itu juga mengakui bahawa semasa berada di bawah pentadbiran Najib selama setahun empat bulan, beliau tidak cuba mendapatkan penjelasan daripada Najib mengenai isu itu kerana tidak perlu baginya berbuat demikian.

Kepada soalan lain, Madinah mengakui kesalahan telah dilakukan melalui arahan untuk meminda dan memusnahkan laporan audit asal 1MDB.

Muhammad Shafee: Di sepanjang perbuatan salah itu, seseorang ‘membetulkan’ (memanipulasi) laporan itu. Perbuatan jenayah?

Madinah: Saya baru tahu adalah salah bagi Ambrin ditekan untuk meminda salinan laporan ketua audit negara yang telah dimuktamadkan, dan bagi Nor Salwani diarahkan untuk memusnahkan semua laporan asal.

Kepada soalan lain, Madinah menafikan bertemu Najib untuk dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada awal 2016 dan juga menafikan beliau bergantung usaha melobi oleh arwah suaminya, Timbalan Pengerusi Tetap Umno ketika itu, Datuk Seri Rizuan Abdul Hamid, untuk menjadi dilantik sebagai ke jawatan itu.

Muhammad Shafee: Adakah anda tahu arwah suami anda melobi supaya anda menjadi Ketua Audit Negara?

Madinah: Apabila perkara itu dibangkitkan, saya telah memberitahunya bahawa dalam keadaan apa pun dia tidak boleh campur tangan dalam apa cara sekalipun, terutamanya semasa saya menjadi Ketua Setiausaha di dua kementerian, Pendidikan dan MOSTI. Dia seorang ahli perniagaan, dia tidak cuba untuk menjalankan perniagaan dengan kedua-dua kementerian ini dan tidak melobi apa-apa daripada PM, kerana jika saya dilantik, ia harus atas merit saya sendiri dan dia faham.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB  sebelum dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

- Advertisement -