KPDNHEP, MOSTI perlu bekerjasama bina sistem subsidi lebih efektif

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dicadang untuk menerokai teknologi baharu sebagai usaha bagi memastikan subsidi yang diberikan kepada rakyat memberi kesan langsung kepada golongan B40.

Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin mencadangkan KPDNHEP mengadakan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seperti menggunakan sistem data raya atau big data bagi tujuan itu.

“Ini yang kita mahukan sebab terkadang subsidi yang diberi kerajaan bersifat pukal kepada seluruh lapisan masyarakat, di mana jika kita amalkan sistem perbendaharaan yang bijaksana, seharusnya subsidi ini diberikan kepada mereka yang layak.

“Mereka yang layak sekarang ini amat memerlukan, ada dalam kalangan kita yang dahulunya berada di M40, telah turun kepada B40. Ada yang berada di B40 telah turun lebih jauh daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), di Dewan Negara, semalam.

Menurut Khairil, tindakan kerajaan memperkenalkan subsidi adalah tindakan wajar yang bijaksana serta menggambarkan kerajaan cakna kepada rakyat, namun tidak diketahui sejauh mana keberkesanan subsidi ini sampai kepada golongan layak.

“Sejauh manakah keberkesanan e-aduan di bawah KPDNHEP dalam membantu kementerian mengawal harga barang daripada terus meningkat pada waktu ini?” soalnya.

Sementara itu, Khairil Nizam juga meminta penjelasan jika KPDNHEP dapat menjamin pegawai mereka tidak menyalahgunakan kuasa yang ada jika diberikan kuasa untuk menahan tanpa waran.

Beliau memahami pindaan Seksyen 10 Akta 122 adalah untuk membolehkan siasatan dan pendakwaan kes membabitkan penyelewengan barang kawalan dapat dilakukan dengan lebih efektif, namun katanya soal keadilan sosial serta kebajikan orang ramai juga perlu diperhalusi.

“Apakah jaminan pegawai ini tidak akan menyalahgunakan kuasa mereka sehingga menzalimi rakyat diluar sana yang bekerja mencari wang pencarian bagi menyara keluarga mereka?

“Apakah jaminan dengan klausa lebih besar ini, ia tidak mengundang kepada akses pembulian atau peras ugut untuk mendapatkan duit kopi atau rasuah daripada kalangan mereka?” soalnya.

Selain itu, Khairil Nizam juga mencadangkan KPDNHEP menggunakan hasil jualan barangan yang disita supaya dimasukan ke dalam tabung kebajikan khas untuk disumbangkan kepada pegawai mereka.

Katanya, selain risiko berdepan dengan kartel-kartel dari sudut keselamatan nyawa, tidak salah untuk menjaga kebajikan mereka dan keluarga termasuk dari aspek pendidikan anak-anak.

“Saya nampak sekiranya ada bantuan sebegini, kebajikan para pegawai penguatkuasa ini dapat dipelihara, sekaligus dapat mengurangkan kadar rasuah di negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -