Pindaan RUU Perlembagaan dapat sokongan lebih dua pertiga

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja, diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini, selepas mendapat sokongan melebihi dua pertiga.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang mempengerusikan majlis ketika undian dibuat untuk bacaan kali kedua, mengumumkan bahawa keputusan belah bahagian adalah 181 undi bersetuju, 39 tidak hadir dan tiada yang tidak bersetuju.

- Advertisement -

“Jumlah undian adalah 220. Dengan itu, RUU ini diluluskan,” katanya.

RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat selepas keputusan majoriti dua pertiga turut diperoleh pada bacaan kali ketiga, dengan 178 undi bersetuju dan 42 undi tidak hadir.

Mengikut Perkara 159 Perlembagaan, undian secara belah bahagian perlu dilaksanakan bagi RUU ini kerana bagi tujuan meminda Perlembagaan, selain yang dikecualikan daripada peruntukan itu, hanya boleh diluluskan di Parlimen dengan sokongan tidak kurang dua pertiga pada bacaan kali kedua dan ketiga.

Melalui pindaan ini, Perlembagaan mengecualikan nama Raja dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta mana-mana individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pembentangan RUU ini mendapat perhatian selepas selepas kerajaan buat kali pertama gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA)di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, membentangkan RUU itu sebelum ia dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU itu meminda Perlembagaan dengan menambah Perkara 119A, bagi mengecualikan golongan diraja daripada didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih, seperti diperuntukkan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Pengecualian daripada kerabat diraja berkenaan didaftarkan sebagai pemilih secara automatik adalah bagi memastikan institusi diraja kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik. – HARAKAHDAILY 24/3/22

- Advertisement -