Sidang Khas RUU Antilompat Parti, 11 April depan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Rakyat untuk pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti akan diadakan pada 11 April depan.

Perkara ini diiumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, tarikh sidang khas itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Ketua Majlis Parlimen dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, serta berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3).

“Malah, Perdana Menteri bersetuju untuk melanjutkan sidang khas itu jika tempoh masa sehari bagi membincangkan RUU berkenaan tidak mencukupi.

“Ahli Yang Berhormat jangan bimbang…Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) telah beri jaminan kepada saya untuk kita membentangkan RUU ini. Biar Ahli Parlimen buat keputusan mahu sokong atau tidak mahu sokong,” katanya.

Dr Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata, RUU (Pindaan) 2022 berhubung Antilompat Parti akan dibentangkan pada sidang khas Parlimen sebaik sahaja pendapat dan input daripada semua pihak diperoleh, sesi libat urus selesai serta jika Kabinet meluluskan.

Katanya, pembentangan RUU itu selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebaik sahaja Perdana Menteri bersetuju menggunakan kuasanya di bawah peraturan berkenaan. – HARAKAHDAILY 24/3/22

- Advertisement -