Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Hutang kerajaan Persekutuan kepada Terengganu sehingga sekarang masih berbaki sebanyak RM1.43 bilion.
Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah hutang kerajaan Persekutuan sebelum ini sebanyak RM1.85 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur II (LPT2).
Namun, katanya kerajaan Persekutuan membayar balik hutang itu sebanyak RM418.5 juta dalam bentuk pelaksanaan projek di negeri tersebut.
“Jadi jumlah hutang yang masih berbaki sehingga kini RM1.43 bilion dan kerajaan negeri sentiasa menuntutnya.
“Bayaran balik dalam bentuk projek sebanyak RM418.5 juta dan jumlah yang masih berbaki RM1.43 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Titah Ucapan Sultan Terengganu, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, di sini hari ini.
Oleh itu Menteri Besar berkata, kerajaan negeri berhasrat mendapatkan bayaran balik hutang berkenaan dalam bentuk tunai.
Ketika ditanya pemberita selepas itu katanya, beberapa siri perbincangan dan perundingan dengan Kementerian Kewangan diadakan sebelum ini.
“Kerajaan negeri berhasrat mendapatkan bayaran balik hutang ini secara pembayaran tunai dan bukannya dalam bentuk projek,” katanya.
Menurutnya juga perbincangan dengan Menteri Kewangan Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkaitan hutang terbabit akan diadakan 28 Mac ini di Putrajaya.
“Sama-sama kita berdoa agar keputusan yang terbaik buat negeri Terengganu dapat dicapai, insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/3/2022