Syarikat gergasi Jepun sedia taja KUFC

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) menerima tajaan agak besar musim ini hasil kerjasama dengan syarikat minuman pribiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd.

KUFC menerima tajaan bernilai RM766,000 termasuk sumbangan tunai, produk dan perancangan program pembangunan bola sepak akar umbi untuk masa hadapan.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik itu diadakan semalam di mana KUFC diwakili Timbalan Presiden Dato’ Zamri Ismail dan Yakult Malaysia, diwakili Pengarah Urusan Hiroshi Hamada.

- Advertisement -

Majlis bersejarah itu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat yang juga penasihat KUFC.

Hiroshi berkata, pihaknya mengekalkan kerjasama bagi meneruskan pelaksanaan program bola sepak akar umbi yang dirancang tahun lalu bersama KUFC melalui pendedahan DNA bola sepak Jepun dalam kelab berkenaan.

“Selain itu prestasi dan kerjasama yang memberangsangkan musim lalu adalah salah satu faktor Yakult Malaysia kekal bersama KUFC.

“Saya yakin KUFC boleh pergi lebih jauh bagi memberi saingan sengit musim ini,” katanya pada sidang media sempena program berkenaan.

Kerjasama itu turut mengekalkan pengurusan dan dua pemain Jepun iaitu Akira Hagashiyama sebagai pengarah teknikal, pemain muda Shuhei Fukai dan legenda Jepun, Masashi Motoyama.

Menurutnya juga selain Yakult, dua lagi syarikat gergasi negara matahari terbit itu berminat untuk menaja skuad kijang hijau musim ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan yang akan diumumkan sendiri KUFC nanti.

“Saya boleh beritahu salah satunya adalah syarikat berasaskan teknologi tinggi (IT),” katanya. – HARAKAHDAILY 14/1/2022

- Advertisement -