NEOM: Bandar kuasa tenaga boleh diperbaharui pertama di dunia

- Advertisement -

RIYADH: Arab Saudi mewartakan NEOM sebagai bandar pertama di dunia yang bergantung sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui, walaupun menghadapi cabaran untuk membangunkannya kerana didirikan di kawasan yang baru diterokai.

Ketua Pegawai Eksekutif NEOM Company, Nadhmi Al-Nasr berkata, bandar bebas karbon itu dibangunkan dengan cita-cita besar berkat kehadiran keupayaan teknologi dan inovasi moden, yang boleh dijadikan contoh bagaimana alam sekitar dan pembangunan boleh mencapai keharmonian melalui penggunaan tenaga bersih.

- Advertisement -

“NEOM mempunyai empat sektor terkemuka yang berkisar kepada penyelidikan, teknologi, kecerdasan buatan dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya ketika berucap pada Forum Mineral Masa Depan di sini pada Khamis (13 Jan).

Menurut Al-Nasr, NEOM memfokus terhadap aspek digital kerana ia merupakan sektor perintis, dan telah membuat pencapaian digital yang luar biasa sejak beberapa bulan lalu. 

“Kemajuan digital telah mengubah industri perlombongan dan menjadikannya bersedia untuk menjadi sebuah industri yang bersih untuk alam sekitar,” ujarnya.

Ilustrasi NEOM yang dibangunkan tanpa jalan raya, kenderaan dan aliran trafik bagi merealisasikannya sebagai bandar bebas karbon.

Beliau memuji lonjakan kualitatif yang dicapai NEOM dari segi kemajuan dalam teknologi dan inovasi serta dalam menarik dan mencipta rantaian bekalan hijau untuk perlombongan, bermula dari lombong melalui pembuatan hingga mengeksport, dengan cara mencapai kemampanan di samping penghasilan apa yang dikenali sebagai hidrogen hijau.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan, pembinaan bandar itu bermula pada suku pertama 2021.

Pembangunan bandar NEOM telah dimulakan sejak suku pertama 2021.

Pelan pembinaan bandar di bawah projek mega futuristik berkenaan telah dilancarkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman pada 11 Januari 2021.

Tunjang pelaburan projek NEOM yang juga dikenali sebagai ‘The Line’ sepanjang 170 kilometer itu yang mampu menempatkan sejuta penduduk itu dibiayai oleh dana sokongan NEOM bernilai AS$500 bilion daripada kerajaan Arab Saudi, Dana Pelaburan Awam (PIF) serta pelabur tempatan dan antarabangsa selama 10 tahun. – Agensi

- Advertisement -