Kempen Kelantanku Bersih dapat sambutan masyarakat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Selain Pantai Irama di bandar Bachok, jajahan itu juga memiliki lima lagi lokasi pelancongan pantai iaitu Pantai Melawi, Pantai Impian di Kemasin, Pantai Telong, Pantai Nami dan Pantai Kemayan.

Adun Pantai Irama Mohd Huzaimy Che Husin berkata, Majlis Daerah Bachok (MDB) berusaha memajukan lokasi pelancongan tersebut secara berperingkat.

Katanya, tumpuan sekarang di Pantai Melawi dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk parkir, tandas, musalla, gerai jualan, laluan pejalan kaki dan denai laut.

- Advertisement -

“Pelancongan pantai semakin mendapat tempat selepas kerajaan negeri melancarkan kempen Kelantanku Bersih kira-kira tiga tahun lepas.

“Sejak kempen itu dilancarkan kita sudah nampak kesan dan perkembangannya semakin baik. Kita juga lihat kesedaran masyarakat bersama-sama dengan agenda kebersihan dan keceriaan.

“Mereka turut mengambil tanggungjawab untuk sama-sama memastikan kawasan pantai dan lokasi tumpuan awam bersih,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Keusahawan Bachok 2022, Kursus Pemasaran Digital di Permai Resort, Telong di sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok, Mohd Farid Abdul Razak dan Pengerusi Persatuan Pembangunan Usahawan Bachok (PPUB), Zulkifli Roslan.

Seramai 80 peserta menyertai program tersebut mendapat pendedahan berkaitan pemasaran secara digital melalui media sosial termasuk Facebook, YouTube dan Instagram.

Mohd Huzaimy juga berkata, sektor pelancongan pantai sangat sinonim dengan Bachok, di mana mempunyai enam pantai yang dikenali ramai di Kelantan.

Menurutnya juga Pantai Melawi mempunyai pantai yang landai serta pasir putih menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan luar.

“Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam merancang membina trek untuk berjogging sepanjang laluan pantai bermula Pantai Melawi sehingga Pantai Telong sepanjang 15 kilometer,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2022

- Advertisement -