Skandal SPRM: Artikel cari pasal

- Advertisement -

TULISAN aku ini bukan untuk meneliti betul atau salah pengakuan Tan Sri Azam, tetapi sikap kita terhadap berita yang diterima. Aku mengambil beberapa masa bagi mencari kekuatan menulis tulisan ini. Melihat kepada gelombang yang maha dahsyat, menghempas kepada ramai orang ketika ini, iaitu keyakinan yang terhakis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akibat daripada satu pendedahan oleh ‘whistleblower’ berkenaan pemilikan saham atas nama Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki yang kemudiannya dinafikan oleh beliau, bahawa saham itu kepunyaan adiknya, tetapi menggunakan akaun sahamnya.

Setelah aku menunggu masa sesuai, kemudiannya muncullah tulisan Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS dalam tajuk ‘Apabila Media Menjadi Hakim’ yang secara jelas menunjukkan kepada kerosakan yang dibawa oleh media apabila mengajak rakyat berhukum dengan apa yang mereka dedahkan, tanpa mengambil kira perbicaraan di mahkamah. Tulis beliau, ada ajakan untuk mengembalikan seruan zaman kuno dahulu iaitu ‘suara rakyat adalah suara tuhan’.

- Advertisement -

Dengan memetik beberapa ayat al-Quran, Tan Sri Presiden PAS menjelaskan Islam menyuruh manusia untuk berhukum mengikut aturan Allah yang diturunkan melalui al-Quran. Begitulah beliau mengulanginya lagi, buat kesekian kalinya, yang dituduh tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah. Inilah ketetapan beliau yang teguh, tanpa berubah, walau dengan sesiapa sekalipun. Beliau tidak berganjak, kerana ini adalah suruhan Allah. Sudah banyak kali beliau menyatakan pendiriannya ini dan beliau melakukannya, bukan cakap kosong.

Apabila Dato’ Seri Najib didakwa, beliau diam. Bukan kerana pernah berbaju sedondon, tetapi kerana Allah menyuruh, tunggu sehingga hukuman dijatuhkan. Apabila Lim Guan Eng (LGE) didakwa, sikap yang sama beliau ambil, walaupun sudah banyak kali LGE menyakiti beliau, walau LGE bukan-Islam. Berseteru dalam politik, tidak mengheret beliau ke kancah kezaliman. Beliau melakukan kerja-kerja dakwah lain yang lebih berfaedah daripada menghukum LGE ketika masih belum terbukti bersalah. Ini semua kerana Islam ajarkan.

Ramai yang sinis dengan PAS, apabila PAS menyatakan berpuas hati dengan penjelasan Arul Kanda berkenaan 1MDB dahulu. Yang memerli PAS atau mengutuk PAS itu, kerana tidak faham apa kehendak Islam. Pertamanya PAS bukan hakim atau mahkamah di mana pendapat PAS terhadap sesuatu perkara itu, adalah hukuman tuntas atau menjadi satu keputusan rujukan bagi penghakiman. Bukan begitu. PAS hanya menyatakan pendapatnya setelah mendengar penjelasan oleh pihak yang autoriti.

Jelas sikap PAS berkait rapat dengan kisah Rasulullah S.A.W dengan dua orang yang sedang bertelagah. Rasulullah S.A.W mengingatkan supaya mereka bercakap benar dan tidak mengambil hak orang. Rasulullah S.A.W hanya akan berhakim dengan apa yang Baginda dengar. Baginda tidak tahu apa isi hati manusia. Ia bukan kerja Rasulullah S.A.W. Jika pandai berbelit, dia mungkin terlepas hukuman dunia. Jadi Rasulullah S.A.W yang mulia juga berkemungkinan dipengaruhi dengan perkataan manusia. PAS apatah lagi.

Dalam satu lagi kisah, Rasulullah S.A.W berhukum dengan pengakuan seorang wanita yang menafikan dirinya berzina, sedang dalam keadaan Rasulullah S.A.W tahu dia berbohong. Maka kemudiannya setelah lahirnya anak itu, wajah anak itu, saling tidak tumpah dengan lelaki yang dia berzina itu. Beginilah sikap dalam Islam. Berhukum dengan bukti, saksi dan keterangan lain. Bukan hanya dengan pendedahan sahaja. Islam memberi peringatan, bahawa ada dua mahkamah dalam hidup kita. Jika terlepas dari mahkamah dunia, maka akan berhadapan pula dengan mahkamah akhirat yang mana tiada lagi kelepasan.

Ramai yang bukan sahaja menjatuhkan hukuman bersalah kepada Tan Sri Azam Baki, malah dengan kerasnya menghina beliau serta adiknya. Ini juga tidak betul kerana Rasulullah S.A.W melarang kita menghina pendosa. Kisah berkenaan Sahabat yang menghina seorang penzina ketika hukuman sedang dijalankan setelah didapati bersalah, ditegur oleh Rasulullah S.A.W supaya tidak menghina diri pesalah, tetapi boleh merasa marah dengan dosa itu. Bermaksud jangan menyerang peribadi. Dia mungkin kalah kepada nafsunya, ada ruang yang sangat banyak untuk bertaubat. Apa lagi yang belum dibicarakan.

Masalah manusia yang tidak mengenal agama, mereka mahukan hukuman segera dijatuhkan di dunia. Paling jahat, mereka mahukan hukuman dijatuhkan kepada orang yang mereka tuduh, tanpa perbicaraan. Jika mereka dakwa, dikira sudah bersalah. Begitulah bagi golongan yang tiada asas agama dalam diri mereka. Ajakan mengenakan hukuman ini dengan beberapa slogan yang memberikan gambaran bahawa sesiapa yang tidak bersama mereka, adalah golongan pelindung kepada pesalah.

Tiada salahnya menyuruh yang terkena tuduhan untuk berehat sebentar. Mungkin bagi melegakan tekanan atas dirinya atau boleh diadakan siasatan menyeluruh dengan lebih terbuka. Siasat, jangan tidak siasat. Tetapi berilah juga peluang kepada yang dituduh untuk bernafas. Dan jika beliau tidak mahu berehat, jangan disalahkan beliau, kerana LGE juga dahulu, tidak berehat daripada tugasannya, tiada pula dari pihak sana yang bantah. Ambil kisah Kaab bin Malik yang dihukum setelah terbukti kesalahannya, tetapi tidak dihina kerana dosanya itu. Kaab tidak dihukum sebelum datangnya ketetapan Allah.

Aku hanya mengintai dari kejauhan yang mana kemungkinan pencalaran imej ini, adakah berkait dengan beberapa kes yang sedang berlangsung sekarang di mahkamah? Jika calaran ini dalam dan berbekas, maka nanti apa-apa sahaja daripada SPRM, akan ditolak orang. Tiada lagi kepercayaan. Masih ingat kisah Teoh Beng Hock? Sehingga selepas menang, mereka membuka semula kes itu, tetapi tiada apa-apa kesalahan yang membolehkan mereka mendakwa SPRM. Keluarga Beng Hock merasa tertipu. Kita juga. Masih lupa? Jika lupa, ingat pula kes-kes yang didedahkan oleh pakar formula dari PKR. Masih berbau hancingnya.

Lihat kepada sejarah. Uthman dibunuh kerana tuduhan salah guna kuasa, Ali dibunuh kerana dituduh tidak menghukum pembunuh Uthman. Fitnah yang digerakkan oleh golongan pemberontak ketika itu. Bukti sekarang ini sudah cukup, nanti jika Tan Sri Azam tidak didapati bersalah, maka SPRM akan dituduh macam-macam. Maka benarlah nasihat Tan Sri Presiden PAS yang kita mesti ikut Islam dalam berhukum, jangan ikut pihak yang jahil Islamnya. Aku bersama Presiden PAS yang sekarang ini diserang kerana menyampaikan kebenaran Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
10 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 10/1/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -